[VIDEO] Macam WWE, lelaki dipercayai mati kena hempas 'abam taiko' atas jalan


  • Tular
  • Rabu, 20 Sep 2023

Tangkap layar video pergaduhan tersebut yang menyebabkan mangsa dilihat tertiarap tidak bergerak selepas dihempas ke atas jalan.

TULAR satu video memaparkan pergaduhan antara dua lelaki sehingga menyebabkan salah seorang daripadanya dipercayai maut selepas diangkat dan dilempar hingga terhempas di atas jalan.

Klip berdurasi lapan saat itu dimuat naik di laman Info Kemalangan/Jenayah Terkini Seluruh Malaysia pada Rabu.

Berdasarkan video terbabit, pergaduhan tersebut pada awalnya tercetus membabitkan pertengkaran antara dua lelaki di sebuah tempat parkir dengan salah seorang daripadanya sudah berada dalam keadaan tidak berbaju.

Pada masa sama, dua orang wanita dilihat cuba untuk meredakan ketegangan.

Bagaimanapun, situasi semakin menjadi bertambah tegang apabila lelaki yang tidak berbaju dan berbadan agak besar itu bertindak agresif dengan menolak mangsa sebelum mengangkat dan mencampakkan mangsa ke atas jalan.

Impak daripada perbuatan menghempas mangsa ke atas jalan yang seakan-akan meniru aksi gusti dalam rancangan World Wrestling Entertainment (WWE) itu turut boleh didengar dengan kuat di dalam video berkenaan.

Mangsa juga dilihat tidak bergerak selepas daripada kejadian itu dengan tubuhnya terus kaku tertiarap di atas jalan.

"Katanya mangsa meninggal dunia," tulis akaun Facebook, Aiman Danish pada perkongsian tersebut yang turut menyatakan belum menerima maklumat lengkap lokasi dan waktu kejadian.

Bagaimanapun, berdasarkan pertuturan dalam video berkenaan, insiden itu berkemungkinan di luar negara membabitkan warganegara China. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram