KONTINJEN negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022 menerima tamparan hebat apabila jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang terpaksa menarik diri daripada temasya itu susulan kecederaan yang dialami Jumaat lepas.
Perkara itu diumumkan sendiri olehnya yang memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dengan jurulatih, John Beasley dan pasukannya sebagai langkah terbaik bagi mengelakkan kecederaan bertambah parah.
"Kita bincang dan buat keputusan terbaik banyak kemungkinan kalau saya buat keputusan pergi (sertai Sukan Asia), dengan keadaan saya belum pulih kesakitan ini boleh memburukkan lagi keadaan dan memanjangkan kecederaan.
"Fokus utama kita Sukan Olimpik Paris, yang mana hanya berbaki 322 hari lagi. Saya juga ingin mohon maaf untuk kontinjen kita dan juga seluruh rakyat Malaysia, fokus sekarang adalah untuk pulih secepat mungkin,” katanya pada sidang media mengenai status kecederaannya di Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur pada Rabu.
Walaupun tidak dapat mengikuti skuad berbasikal trek negara ke temasya berprestij itu, pelumba yang digelar sebagai ‘The Pocket Rocketman’ berkata, dia akan tetap memberi sokongan kepada kontinjen negara di tanah air.
Dalam pada itu, Beasley berkata, Fadhil Mohd Zonis bakal menggantikan Azizulhasni bagi acara keirin individu manakala Muhammad Ridhuan Saharom bakal menggantikan bagi acara pecut individu.
Kemalangan yang mengakibatkan kecederaan menimpa Azizulhasni. — Twitter/Azizulhasni Awang
"Kita mempunyai pelumba yang berkebolehan, dalam prestasi terbaik bagi keirin kita ada Shah Firdaus dan Fadhil Zonis, dan Fadhil menyertai keirin Piala Asia di Hong Kong beberapa tahun lepas.
"Dia berupaya untuk menaiki podium dan kita mempunyai Ridhuan untuk pecut, jadi ini peluang yang baik untuk mereka tunjukkan kebolehan mereka,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat Azizulhasni berdasarkan nasihat daripada pakar perubatan.
Beliau berkata, meskipun ketiadaan Azizulhasni di Sukan Asia kali ini, PKBM tetap mengharapkan skuad berbasikal negara mampu membawa pulang pingat buat kontinjen negara, di temasya itu.
"Memang keputusan yang amat berat sebab Azizulhasni sandaran utama untuk Sukan Asia, saya fikir ini peluang untuk mereka untuk pertingkatkan keupayaan dan berikan yang terbaik untuk Malaysia di Sukan Asia.Saya juga ingin mengatakan matlamat utama kami di Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.
The Pocket Rocketman sebelum ini berkongsi video berdurasi 35 saat memaparkan dia terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan sebagai persiapan ke temasya Sukan Asia yang akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram