NEGARA pada Rabu dikejutkan dengan berita kemalangan maut membabitkan dua penunggang motosikal yang dirempuh oleh sebuah lori dalam kejadian yang berlaku di Putrajaya.
Insiden yang dipercayai berpunca akibat kegagalan brek lori tersebut berlaku di KM 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala ke Puchong berhampiran susur keluar Persiaran Timur kira-kira pukul 10.14 pagi.
Dalam kejadian tersebut, lori berkenaan dilaporkan turut merempuh tujuh kenderaan lain yang terdiri daripada lima buah kereta, satu motosikal polis trafik dan satu lori kecil.
Dua penunggang motosikal lelaki yang maut dalam kemalangan berusia 25 dan 39 tahun disahkan maut di tempat kejadian.
Keadaan beberapa buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Putrajaya pada Rabu.
Susulan daripada itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan segera akan dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terhadap insiden tersebut.
Katanya, turut akan diambil kira dalam siasatan berkenaan adalah kemungkinan berlakunya pelanggaran had muatan oleh lori terbabit.
Untuk rekod, kes kemalangan tragik sebegini yang berpunca daripada masalah sistem berk lori dan treler bukanlah kali pertama berlaku di dalam negara.
Malah, dalam tempoh dua tahun lalu, terdapat beberapa kes serupa turut dilaporkan terjadi yang turut melibatkan kehilangan nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.
Berikut Majoriti senaraikan lima kemalangan maut yang berpunca akibat kegagalan sistem brek melibatkan lori dan kenderaan berat lain.
1. Lori terbabas ketika keluar simpang akibat kegagalan brek
Keadaan kereta mangsa selepas bertembung dengan lori terbabit di jalan berhampiran Hentian Sebelah Bandar Cheneh Baru, di Kemaman, Terengganu. — Facebook/OrangAwam
Seorang ayah bersama dua anaknya maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori yang dipercayai terbabas dalam satu kemalangan berhampiran Hentian Sebelah Bandar Cheneh Baru, di Kemaman, Terengganu pada 15 September lalu.
Dalam kejadian tersebut, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra yang dipandu isteri mangsa sedang dalam perjalanan dari Mak Chili menghala ke Cheneh.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi sekitar pukul 2.05 petang, kereta tersebut bertembung dengan lori terbabit yang dipercayai hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan.
Susulan daripada insiden tersebut, pemandu lori terbabit turut direman selama empat hari bagi membantu siasatan yang dibuat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiga sekeluarga yang terkorban itu ialah Ammir Hussein Mohamad, 38, dan dua anak lelakinya iaitu Ammzar Husszair Al Hussein,4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein,1
Sementara itu, isteri mangsa, Ammir Hussein, Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang sedang hamil cedera pada bahagian perut manakala seorang anak angkat pasangan itu, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8 pula dirawat di hospital.
2. Enam sekeluarga maut dirempuh lori pasir
Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan treler pasir di Jalan Segamat-Kuantan, dekat Taman Yayasan, Segamat. — Ihsan Bomba
Enam sekeluarga maut manakala dua lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, Johor yang berpunca daripada sebuah lori pasir hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
Dalam kejadian sekitar pukul 6.37 petang pada 1 September lalu, kenderaan jenis Perodua Alza dinaiki keluarga tersebut bertembung dengan lori berkenaan yang datang dari laluan bertentangan.
Insiden tersebut turut membabitkan tiga kenderaan lain terdiri daripada Honda HRV, Proton Wira, Perodua Bezza.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda HRV yang sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke Segamat memperlahankan kenderaannya kerana terdapat kerja pembaikan jalan raya di hadapan jalan.
Bagaimanapun, lori membawa muatan pasir itu yang yang sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke Segamat dipercayai gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian beberapa kenderaan lain sebelum kemudian memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta mangsa.
3. Penunggang maut dirempuh lori ketika keluar simpang
Kemalangan maut melibatkan lori kehilangan brek di Jalan Kuari Batang Benar (Kuari Bertam), Nilai, Negeri Sembilan. — Agensi
Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori yang mengalami kerosakan brek dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Kuari Batang Benar (Kuari Bertam), Nilai, Negeri Sembilan.
Insiden maut yang berlaku kira-kira pukul 1 petang pada 29 Jun 2022 itu melibatkan tiga buah lori dan sebuah motosikal.
Ketika kejadian, sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 27 tahun mengalami kerosakan brek ketika di lokasi melanggar sebuah motosikal yang sedang masuk ke laluan dari bahu kiri jalan dan turut melanggar dua buah lori lain yang berada di bahu kiri jalan.
Kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal yang berusia 46 tahun meninggal dunia di tempat kejadian
4. Lima pelajar maut dirempuh treler berhampiran Terowong Menora
Kelima-lima mangsa maut merupakan pelajar USAS. — Facebook
Lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), rentung selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora di Kuala Kangsar Perak pada tengah malam 12 Mei 2022.
Dalam insiden tersebut, kereta dinaiki kesemua mangsa sedang melalui sedang melalui kawasan penyelenggaraan jalan dilakukan pihak PLUS di lokasi sebelum terbabit dalam kemalangan membabitkan dua treler.
Ketika kejadian, sebauh treler membawa muatan mozek dari arah selatan sedang dalam perjalanan menghala utara dan dipandu di lorong kanan dekat kawasan penyelenggaraan tersebut.
Pada masa yang sama, kereta Honda City dinaiki lima mangsa rentung yang sedang mengekori dari belakang treler berkenaan, sebelum kedua-dua kenderaan itu memperlahankan kenderaan.
Bagaimanapun, sebuah lagi treler membawa muatan besi pagar datang dari arah belakang Honda City berkenaan dan dan tidak sempat membrek, mengakibatkan ia merempuh bahagian belakang kereta berkenaan sebelum menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler bermuatan mozek terbabit.
Mereka yang maut ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.
5. Lori simen gagal brek sebelum terbalik hempap kereta
Keadaan kereta mangsa yang maut selepas dihempap lori simen. — Facebook
Seorang wanita maut tersepit dalam kereta apabika kenderaan dinaiki dihempap sebuah lori simen yang dipercayai mengalami kerosakan brek di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, Kelantan, pada 22 Januari 2022.
Dalam nahas kira-kira jam 4.10 petang itu, mangsa, Roslina Anat Lat, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dalam kejadian tersebut, lori Nissan yang membawa muatan simen itu dipandu dari arah Pengkalan Chepa menghala ke Jalan Sri Cemerlang.
Sebaik tiba di lokasi, pemandunya menyedari brek lori gagal berfungsi dan mengambil keputusan membelok ke kiri untuk mengelak terlanggar kenderaan di hadapan.
Bagaiamanapun, ekoran daripada itu, kenderaan berat berkenaan tiba-tiba terbalik lalu menghempap kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa yang berhenti di lampu isyarat laluan bertentangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram