[VIDEO] Tiga maut, bas ekspres 2 tingkat hilang kawalan langgar pokok di Kuantan


  • 112
  • Rabu, 20 Sep 2023

Pasukan bomba mengeluarkan beberapa penumpang tercedera dan tersepit menggunakan peralatan 'rescue tool'. — Bomba

TIGA lelaki maut selepas bas ekspres dua tingkat dinaiki mereka terbabas di Kilometer 81 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Kubang Rusa, kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lipis, Pahang awal pagi Rabu.

Mereka yang meninggal dunia ialah pemandu bas Ab Aziz Daud, 63, dan dua penumpang iaitu Shukri Mat Noor, 55, serta Hossain Kamal, 41, yang merupakan warga Bangladesh.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kemalangan berlaku pada pukul 1.50 pagi semasa bas yang membawa 18 penumpang itu dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur.

"Bas itu dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh menyebabkan terbabas ke bahu jalan," katanya semasa dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, kejadian juga menyebabkan enam lagi penumpang dan pemandu kedua bas itu cedera, selain bahagian kiri bas remuk.

Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan kemalangan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 24 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis dan Gua Musang, Kelantan dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres jenis dua tingkat dipercayai terbabas dan melanggar pokok.

“Pasukan bomba mengeluarkan beberapa penumpang tercedera tersepit menggunakan peralatan 'rescue tool'," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram