[VIDEO] Dua maut konvoi polis kena rempuh lori gagal brek sodok kereta di Putrajaya


  • 112
  • Rabu, 20 Sep 2023

Keadaan beberapa buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Putrajaya pada Rabu.

DUA penunggang motosikal maut manakala enam cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori yang dipercayai merempuh konvoi polis dan kereta orang awam di Putrajaya pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz yang mengesahkan kejadian itu berkata, kemalangan berlaku di KM 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala ke Puchong berhampiran susur keluar Persiaran Timur kira-kira pukul 10.14 pagi.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sembilan buah kenderaan yang terdiri daripada lima buah kereta, dua motosikal awam, satu motosikal polis trafik dan satu lori kecil.

"Lori tersebut hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan masuk ke jalan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori kecil di tempat kejadian.

"Sebuah motosikal trafik yang sedang melakukan latihan konvoi polis untuk Le Tour De Langkawi juga bertindak awal menghentikan kenderaan turut dirempuh.

"Namun anggota tersebut sempat menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku," katanya dalam kenyataan.

Ekoran daripada kemalangan tersebut, dua penunggang motosikal lelaki yang berusia 25 dan 39 tahun disahkan maut di tempat kejadian oleh Paramedik Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

Sementara itu, mangsa-mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

"Setakat ini, terdapat seorang mangsa berada di zon merah, dua orang di zon kuning manakala tiga orang menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

"Jenazah dua orang mangsa juga masih di forensik untuk menunggu proses bedah siasat dan pengecaman oleh ahli keluarga," katanya lagi.

Katanya, semakan awal mendapati pemandu lori tiada rekod kesalahan trafik dan buat masa ini ditahan untuk pemeriksaan air kencing dan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu kejadian itu tular selepas rakaman kemalangan dikongsikan orang awam di Twitter.

Menerusi video yang dimuat naik menunjukkan detik-detik sebelum kemalangan yang mana sebuah lori dilihat gagal berhenti hingga menyebabkan pelanggaran dengan beberapa buah kenderaan di tempat kejadian.

Dalam satu rakaman video berbeza orang awam dilihat merakam keadaan selepas kemalangan yang menunjukkan beberapa kereta dan motosikal kemek 'disodok' lori terbabit.

Melalui video 'dashcam' yang dikongsikan oleh orang awam juga difahamkan polis menutup sementara jalan bagi memberi laluan kepada konvoi polis yang dipercayai sedang membuat latihan ketika kemalangan berlaku.

Penutupan jalan itu menyebabkan beberapa kenderaan orang awam berhenti sebelum sebuah lori datang dari arah belakang sebelah kiri melanggar beberapa buah kenderaan di hadapan.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, kejadian dikesan berlaku kira-kira 10.20 pagi di Persiaran Utara menghala ke Presint 12.

“Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 dan Presint 14 dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram