SATU mayat lelaki dipercayai dibaham buaya ketika sedang menangkap ketam ditemukan di tepi pantai berhampiran Pos ATM di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah pada Rabu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, mayat warga asing berusia 23 tahun dan bekerja di sebuah ladang kelapa sawit itu, ditemukan dalam keadaan tertiarap pada pukul 7.20 pagi.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada awal pagi ketika mangsa bersama tiga rakannya sedang menangkap ketam di kawasan laut Kampung Tinagian, Tanjung Labian.
"Ketiga-tiga rakannya melihat mangsa dibaham buaya dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas sebelum dia hilang dari kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dr Rohan Shah berkata, pemeriksaan awal ke atas mayat menemui kesan gigitan di lengan kiri dan kepala, selain calar di bahagian dada dan belakang leher serta punggung.
Katanya, anggota dari Balai Polis Kencana tiba di lokasi sebelum membawa mayat mangsa ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat.
"Ini adalah kes yang pertama bagi tahun ini dan satu siasatan laporan mati mengejut dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bersangkut dengan kejadian ini," katanya.
Dr Rohan Shah turut menasihatkan orang ramai di daerah ini terutama yang menjalankan aktiviti di laut atau sungai supaya lebih berhati-hati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram