[VIDEO] Dijanjikan 'jualan mega', penduduk mengamuk stok beras habis di FAMA Kuala Pilah


  • Tular
  • Rabu, 20 Sep 2023

Tangkap layar kekecohan berlaku akibat kekurangan stok beras di FAMA Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

SEKUMPULAN penduduk kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dirakam bertindak di luar kawalan apabila gagal mendapatkan stok beras seperti yang dijanjikan pada Rabu.

Difahamkan, orang ramai terlebih dahulu dimaklumkan tentang jualan beras secara besar-besaran yang diadakan di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kuala Pilah.

Namun, kedatangan penduduk yang mula berkumpul sejak awal pagi telah menyebabkan bekalan stok yang dijanjikan habis dan tidak mencukupi untuk menampung permintaan ramai.

Menerusi perkongsian di laman media, salah seorang penduduk di kawasan terbabit mendedahkan hanya 20 kampit beras yang disediakan oleh pihak berkenaan dalam jualan terbabit.

Ia sekali gus mengundang kemarahan ramai yang kurang berpuas hati dengan sistem jualan yang diwar-warkan sehingga mengakibatkan satu kekecohan berlaku di lokasi berkenaan.

Mendakwa pihak terbabit tidak memaklumkan tentang bilangan stok beras yang tersedia, seorang lelaki menengking petugas di situ.

Jelasnya, orang ramai sudah mula beratur sejak awal pagi dan sebaik tiba di barisan depan, mereka dimaklumkan stok telah habis terjual.

Mengundang kecaman dalam kalangan warganet, salah seorang saksi kejadian berkata, kenderaan polis tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkenaan berhubung perkara itu setakat ini dan orang ramai diminta untuk tidak membuat spekulasi berkaitan isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram