[VIDEO] 24 penumpang maut selepas bas terjatuh dalam gaung di Peru


  • Benua
  • Selasa, 19 Sep 2023

Keadaan mangsa dan bas selepas terjatuh dalam gaung di Peru pada Isnin. — Agensi

SERAMAI 24 orang dilaporkan terkorban dalam kemalangan membabitkan bas penumpang di Peru, Amerika Selatan pada Isnin.

Perkara itu disahkan oleh wakil syarikat pengendali bas yang terlibat, Molina Union dan Agensi Pengawasan Pengangkutan Peru (Sutran).

Sutran turut menyatakan bahawa bas tersebut dalam perjalanan dari Ayacucho ke bandar Huancayo sebelum hilang kawalan dan terjatuh ke dalam gaung.

Media tempatan, RPP melaporkan kemalangan itu berlaku pada pukul 1.30 pagi, waktu tempatan.

Manuel Zevallos, pegawai daerah di mana kemalangan itu berlaku, pada Isnin mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 20 orang telah terkorban dan 20 lagi cedera.

Bagaimanapun agensi Sutran berkata, penyiasatan awal menunjukkan bas itu telah melalui pemeriksaan keselamatan sebelum memulakan perjalanan.

Selain itu, perincian berkenaan kemalangan termasuk jumlah sebenar angka korban dan cedera serta punca nahas masih lagi disiasat oleh pihak polis dan syarikat pengendali bas. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram