[VIDEO] Lelaki bunuh 23 penghuni tahfiz Ittifaqiyah kekal jalani hukuman penjara


Mahkamah Rayuan menolak rayuan seorang pemuda untuk mengetepikan sabitan membunuh 23 mangsa dalam kebakaran di Pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

SEORANG lelaki kekal ditahan di penjara selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong selepas Mahkamah Rayuan pada Isnin menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan membunuh 23 mangsa dalam kebakaran di Pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Abu Bakar Jais, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun menolak rayuan pemuda berumur 22 tahun itu selepas mendapati dapatan salah oleh Mahkamah Tinggi yang dikenakan terhadapnya itu adalah benar dan seharusnya dikekalkan.

Sementara itu, panel yang sama menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang lagi remaja, juga berusia 22 tahun terhadap tuduhan membunuh tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Che Mohd Ruzima yang membacakan keputusan berkata, mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah kuat dan menuding kepada satu arah iaitu remaja berkenaan telah memanjat belakang pagar sekolah berkenaan bersama-sama dengan seorang lagi yang tidak dikenal pasti untuk menyebabkan kebakaran di sekolah tersebut sehingga menyebabkan 23 orang terkorban.

Beliau berkata, tiada sebab bagi mereka untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Pemuda itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 yang memerintahkannya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana membunuh 23 individu dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja berusia 16 tahun ketika kejadian itu bersama seorang lagi individu yang tidak dikenali, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 September 2017.

Api kebakaran bermula di tingkat dua dan teratas bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Dalam insiden yang berlaku pada 14 September 2017 melibatkan madrasah tahfiz lelaki itu, seramai 23 penghuni terdiri daripada 21 pelajar dan dua tenaga pengajar terbunuh, manakala lima penghuni lagi dilaporkan tercedera.

Difahamkan api kebakaran bermula di tingkat dua dan teratas bangunan madrasah tersebut, sebelum api itu merebak dengan cepat ke seluruh bangunan sehingga menghalang satu-satunya pintu masuk dan menyebabkan penghuni madrasah tersebut terperangkap sehingga mereka tidak dapat menyelamatkan diri. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram