[VIDEO] Padah bakar bekas isteri kerana cemburu, lelaki melecur satu badan dijilat api


  • Benua
  • Rabu, 06 Sep 2023

Tangkap layar insiden kebakaran bermotifkan cemburu di sebuah kediaman dekat Lopburi, Thailand baru-baru ini.

SEORANG lelaki mengalami kesan lecuran serius di badannya selepas didakwa cuba membakar kediaman bekas isterinya dalam satu kejadian berlaku di Lopburi, Thailand pada Sabtu lepas.

Perbuatan itu difahamkan tercetus selepas Samroeng Chaichan, 44, cemburu dengan bekas isterinya yang dikatakan sudah menjalin hubungan cinta dengan jejaka lain sebelum dia nekad membakar wanita terbabit serta ibu mentuanya di kediaman berkenaan.

Namun, tindakan itu memakan dirinya sendiri apabila Samroeng mengalami kesan lecuran akibat dijilat api marak dalam kebakaran tersebut.

Dalam pada itu, Thanita Suwakhon, 31, dan ibunya Napada Suwakhon, 61, turut mengalami kecederaan parah di badan dan mereka kini difahamkan sedang menerima rawatan di Hospital King, Thailand.

Tampil membuat laporan polis, teman lelaki Thanita, Jakkaphan Intasana, 36, memberitahu, Samroeng terlebih dahulu memaksa kedua-dua mangsa untuk keluar dan bersemuka dengannya di luar rumah.

Menolak permintaan tersebut, suspek kemudiannya mula bertindak ganas apabila memecahkan tingkap lalu menceroboh masuk ke dalam kawasan kediamannya.

Samroeng kemudiannya bertindak menyimbah minyak petrol ke arah dua beranak tersebut sebelum membakar mereka.

Namun, malang buat suspek apabila dia turut terbakar dalam kejadian tersebut.

lecuuur

Samroeng Chaichan mengalami cedera parah akibat perbuatan dirinya sendiri. — Agensi

Jakkapan yang berada di bilik bahagian atas difahamkan terkejut dengan situasi itu dan melihat kedua-dua mangsa saling bergelut untuk ke tandas bagi memadamkan api.

Samroeng yag cuba meloloskan diri akhirnya terpaksa akur dengan kecederaan parah dialaminya apabila meminta bantuan orang ramai.

Pihak polis kini sedang menunggu rawatan dijalankan terhadap si pelaku dan akan terus menjalankan soal siasat sebaik keadaannya kembali stabil. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram