MAYAT lelaki ditemukan orang awam dalam keadaan rentung terbakar dan membusuk di kawasan Hutan Perchadekat dekat Alor Gajah, Melaka.
Meskipun masih dalam siasatan, mayat berusia 24 tahun itu dipercayai merupakan seorang pemuda yang dilaporkan hilang selama lapan hari.
Menerusi satu perkongsian di Facebook Kalai Mugilan, mangsa yang bernama R Darvnrajh dipercayai telah diculik dan dibunuh sebelum mayatnya dibakar.
"Sebaik sahaja saya mendengar berita itu, saya pergi melawat keluarga mangsa di Hospital Alor Gajah untuk mengetahui laporan forensik dan kemas kini 'post mortem'.
"Berdasarkan laporan forensik, mereka memerlukan satu minggu lagi untuk menyerahkan mayat kepada keluarga mangsa.
"Jabatan forensik perlu mengambil sampel tulang mangsa untuk menyiasat lebih lanjut bagi mengesahkan mayat itu adalah mayat Darvnrajh," dakwanya pada Ahad.
Dia yang juga Penyelaras pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Naam Tamilar Malaysia sempat melawat keluarga mangsa dan memberitahu, mengikut kronologi kes, tiga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Orang awam menemukan mayat mangsa di kawasan Hutan Perchadekat dekat Alor Gajah, Melaka. — Facebook/ Kalai Mugilan
Ujarnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, tiga individu tersebut merupakan orang terakhir yang dilihat bersama mangsa sebelum diculik.
"Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek telah ditangkap dan dibebaskan pada hari yang sama tanpa siasatan sewajarnya.
"Pihak polis telah menahan tiga suspek buat kali kedua untuk siasatan lanjut sekarang," jelasnya.
Sementara itu, memetik laporan media tempatan, ibu Darvnrajh, Vathma, 55, turut meluahkan rasa hibanya tatkala dimaklumkan mengenai penemuan mayat dibunuh dan dibakar dipercayai anaknya
Vathma berkata, walaupun polis belum mengesahkan itu adalah mayat anak sulungnya yang dilaporkan hilang sejak 10 September lalu, namun menerusi rakaman CCTV yang tular, Vathma mengakui lelaki yang dipukul tiga individu lain merupakan anaknya.
Ujarnya, kali terakhir anaknya keluar rumah adalah untuk menonton wayang bersama adik bongsu berusia 17 tahun dan rakan-rakannya pada 9 September lalu.
Sebelum kejadian, Darvnrajh berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri upacara keagamaan dan meminta kebenaran untuk keluar menonton wayang.
"Ketika itu saya berat hati nak membenarkan mangsa keluar rumah, namun selepas dipujuk suami dan anak, saya akhirnya membenarkan.
"Tapi bila tiba di rumah di Tampin, kira-kira pukul 2.30 pagi pada 10 September, anak saya masih tiada di rumah dan kami segera buat laporan di balai polis berdekatan," kongsinya.
Wakil NGO Naam Tamilar Malaysia sempat melawat keluarga mangsa yang menetap di Tampin, Melaka. — Facebook/ Kalai Mugilan
Lebih memilukan, mangsa tidak sempat menyambut ulang tahun kelahirannya pada 10 September lalu.
Bercerita lanjut, Vathma berkata, dia tidak tahu punca mangsa diperlakukan sedemikian rupa, namun menolak kemungkinan disebabkan cemburu kerana anaknya tidak mempunyai teman wanita.
"Cuma sebelum hilang, dia ada memaklumkan kepada rakan untuk mencari pembeli motosikal lama jenis Yamaha 125Z miliknya.
"Dia beritahu wang sebanyak RM4,000 hasil jual motosikal itu untuk digunakan bagi perbelanjaan bekerja Lapangan Terbang Changi, Singapura tapi wang yang dia dapat pun tiada di rumah," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa yang ditemui kira-kira pukul 10 pagi Sabtu itu dipercayai ditikam beberapa kali dengan senjata tajam sebelum meninggal dunia.
Menurutnya, tulang kepala mangsa juga mengalami retak pada bahagian sebelah kiri, tulang rahang retak di beberapa bahagian selain dua tulang leher, tulang tangan kanan, tulang lutut dan kaki patah.
"Unit Forensik Hospital Alor Gajah mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan parah disebabkan objek tajam termasuk pada bahagian leher dan dada," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di kawasan sekitar mangsa ditemui dan pihaknya juga masih belum dapat mengesahkan identiti sebenar sehingga mendapat keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan ke atas ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata, sebelum ini satu laporan polis telah dibuat sebuah keluarga di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin berhubung kehilangan seorang lelaki tempatan, bagaimanapun setakat ini pihaknya tidak mahu mengaitkan kes itu dengan kehilangan mangsa.
"Pada asalnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram