[VIDEO] Lima termasuk seorang budak maut, tangki air panas tiba-tiba meletup


  • Benua
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Tangkap layar kejadian letupan di sebuah kawasan perumahan di Pennsylvania, Amerika Syarikat.

PIHAK bomba masih menyiasat punca letupan yang berlaku di sebuah kawasan perumahan hingga menyebabkan lima individu termasuk seorang kanak-kanak maut dan mengakibatkan beberapa buah rumah rosak di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).

Pada Sabtu, Pejabat Kebakaran Daerah Marshal menerima panggilan melaporkan tentang letupan yang berlaku di kediaman di Plum, Pennsylvania sekitar pukul 10.20 pagi.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai di pejabat berkenaan, pihaknya sedang menyiasat pelbagai kemungkinan yang boleh menyebabkan letupan tersebut, termasuk isu tangki air panas yang dihadapi pemilik rumah.

"Tangki itu dipercayai terletak di ruang bawah tanah rumah," katanya.

Pihak berkuasa memberitahu, menurut maklumat awal yang diterima daripada penduduk setempat, beberapa mangsa dipercayai terperangkap di bawah serpihan rumah yang meletup.

"Sementara itu, difahamkan terdapat dua buah yang rumah terbakar, beberapa rumah lagi rosak dan sebuah rumah meletup," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Plum Borough Lanny Conley berkata, empat mayat dewasa dan seorang kanak-kanak ditemui sebelum pukul 10.30 pagi, Sabtu.

Tambahnya lagi, tiga orang mangsa telah dibawa ke hospital berdekatan termasuk seorang individu yang berada dalam keadaan kritikal. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram