[VIDEO] Sehidup semati, pasangan suami isteri maut, seorang hangus rempuh trak tentera di Gurun


  • Tular
  • Khamis, 14 Sep 2023

Sepasang suami isteri maut akibat kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Gurun, Kedah pada Khamis.

SEPASANG suami isteri maut dalam satu kemalangan berlaku di Kilometer 87, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, Gurun, Kedah pada Khamis.

Mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi itu difahamkan merempuh bahagian belakang sebuah trak tentera di lebuh raya terbabit.

Salah seorang daripada mangsa dipercayai maut terbakar di lokasi kejadian dengan kedua-dua mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurut perkongsian di laman media, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Ridzuan Salleh, 42, dan isterinya, Rosmawati Ismail, 39.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, sepasukan anggota bersama dua jentera dari BBP Guar Chempedak diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Awa Suziana Abd Wahid dengan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada pukul 2.01 petang.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, terdapat kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kenderaan trak tentera di situ.

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Ketua Polis Kuala Muda,Asisten Komisoner Zaidy Che Hassan dalam kenyataan berasingan pula berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal berkuasa tinggi jenis Benelli TNT yang sedang bergerak laju dari arah Alor Setar menghala ke arah Butterworth, telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang trak tentera.

“Impak perlanggaran yang kuat menyebabkan motosikal ditunggang Ridzuan dan pembonceng, Rosmawati, terbakar di tengah laluan jalan, menyebabkan kecederaan parah kepada kedua-dua mangsa,” katanya.

Zaidy berkata, Ridzuan yang berasal dari Kampung Bukit Segantang Garam, Bujang, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat melecur dan kecederaan di badan.

“Manakala isterinya yang berasal dari Singkir, Bedong, yang mengalami kecederaan parah pada pelbagai bahagian badan, meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),” katanya.

Beliau berkata, dua anggota tentera yang berada dalam trak, pemandu yang berusia 28 tahun dan penumpang berumur 42 tahun tidak mengalami kecederaan.

Zaidy berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram