SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan rentung, dalam satu kebakaran yang melibatkan lima buah rumah teres dua tingkat di Rancangan Perumahan Rakyat Batu Kawa, Kuching, Sarawak pada Isnin.
Mayat mangsa yang dikenal pasti sebagai Zayyan Nazeem Zainal Abidin itu, ditemukan di dalam sebuah bilik di tingkat atas salah sebuah rumah itu pada pukul 3.33 petang.
Mayat mangsa dijumpai ketika sepasukan 18 pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Batu Lintang dan Padungan, melakukan kerja 'overhaul' selepas api berjaya dipadam.
"Mangsa dipercayai terperangkap dalam bilik itu sewaktu kebakaran berlaku dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak menerusi satu kenyataan di WhatsApp rasmi PGO pada Isnin.
Menurutnya, mayat kanak-kanak malang itu ditemukan di rumah kedua daripada lima rumah yang terbabit dalam kejadian itu.
"Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, orang awam memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak terperangkap di rumah kedua dan pencarian dilakukan segera sebaik kebakaran berjaya dikawal," katanya.
Jurucakap itu memaklumkan, pusat itu menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.12 tengah hari dan setibanya di lokasi kejadian, penduduk memaklumkan seorang kanak-kanak masih berada di dalam salah sebuah rumah yang terbakar itu.
"Didapati rumah pertama dan rumah kedua dalam deretan rumah teres dua tingkat itu musnah sepenuhnya.
"Tiga lagi iaitu rumah ketika terbakar 60 peratus, rumah keempat 50 peratus manakala rumah kelima 20 peratus," katanya.
Menurutnya, punca dan jumlah kerugian dalam kejadian itu sedang disiasat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram