IDENTITI rider yang maut terbakar dalam nahas pesawat terhempas di di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, pada Khamis dikenal pasti sebagai Muhamad Hafiz Muhamad Salleh.
Perkara itu dikongsikan sepupu mangsa, Nurul Nazihah dalam satu hantaran di Facebook selepas menyedari bahawa mangsa adalah saudaranya sendiri.
"Allahuakbar... patutlah rasa sedih sangat-sangat. Simpati dengan rider yang terbakar kemalangan pesawat dekat Elmina.
"Rupanya adik sepupu sendiri. ALLAH ALLAH...awatlah (kenapalah) kena dekat orang yang aku kenal ini.
"Aku tak kuat nak hadap benda ni. Polis baru dapat detect Apit (panggilan Muhamad Hafiz) mangsa yang terlibat," katanya.
Kerja-kerja mencari mayat nahas pesawat di Bandar Elmina yang dijalankan oleh pihak bomba. — Ihsan JBPM
Nurul Nazihah berdoa agar arwah Muhamad Hafiz ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Dia juga memohon agar diberi kekuatan untuk keluarganya menghadapi ujian perit itu.
"Al-fatihah untuk Apit. Orang baik ALLAH sayang kan," katanya.
Sementara itu, di Twitter, @teynamira turut berkongsikan bahawa rider itu adalah sepupu kepada suaminya.
"Yang (mangsa naik) motor tu sepupu suami saya. Parents arwah dalam perjalanan ke hospital dari Kedah.
"Kami masih macam tak percaya lagi dengan kejadian ini," ujarnya.
Difahamkan Muhammad Hafiz berasal dari Sidam, Kedah dan berhijrah ke Selangor selain bekerja sebagai rider penghantar makanan.
Selain Muhamad Hafiz, nahas pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu turut mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.
Mangsa lain yang maut ialah dua juruterbang pesawat, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.
Identiti lima penumpang lain ialah Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.
Seorang lagi orang awam iaitu pemandu kereta yang terlibat dalam insiden berkenaan akan disahkan melalui siasatan polis.
Terdahulu Majoriti melaporkan 10 mayat mangsa nahas pesawat itu sudah ditemui bersama lima bungkusan cebisan badan yang terpisah dengan semuanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram