TULAR satu video seorang pekerja warung ikan bakar di Kuala Perlis, Perlis bertindak biadap terhadap pelanggannya baru-baru ini.
Melalui video berdurasi 24 saat tersebut di laman Facebook Jangan Serius Sangat, kelihatan pekerja tersebut mencampak duit bernilai RM8 ke arah pelanggannya.
Hasil tinjauan Majoriti di laman media sosial, video tersebut dirakam oleh seorang wanita dan dikongsikan di laman Twitter (X), @macchiatodolce pada Rabu.
"Macam ini eh layan pelanggan. Dari awal memang biadab, ambil order (pesanan) asal boleh, nak senyum jauh sekali. Bila orang tegur baik-baik terus mengamuk macam tiada pedoman hidup," ciapnya yang turut dikenali sebagai Farah.
Bercerita lanjut, Farah berkata, dia bersama beberapa rakannya datang ke kedai tersebut untuk menjamu selera namun keadaan mereka dilayan dengan kasar apabila salah seorang daripada mereka menukar menu makanan pada saat-saat akhir.
Dakwanya lagi, pelayan warung tersebut turut bertindak biadap terhadap pelanggan yang lain sebelum dia menegur pekerja kedai wanita tersebut ketika membuat pembayaran.
"Lain kali layan customer (pelanggan) elok-elok,” katanya.
Teguran yang dibuat Farah telah membuat wanita itu menjadi marah dan mula menghamburkan kata-kata yang kurang enak sehingga mendapat perhatian orang ramai sekeliling.
Melalui video tersebut, jelas kedengaran pelayan kedai wanita itu mencampak duit berjumlah RM8 kepada Farah sambil menjerit.
“Hang anak dara lagi buat perangai elok-elok sikit. Hang bayar RM8 dekat aku, hang nak cakap lebih kurang.
"Setakat RM8 hang ni aku tak heran la, customer aku ramai lagi, hang cakap elok aku bagi elok, hang cakap tak elok muka hang jahanam,” katanya.
Enggan mengeruhkan keadaan, Farah berkata, dia tidak melayan karenah pekerja kedai tersebut dan hanya membiarkan sahaja insiden berkenaan pada hari kejadian.
Menurut Farah lagi, salah seorang daripada wakil daripada kedai tersebut tampil memohon supaya memadamkan video tersebut serta memaklumkan untuk menyelesaikan isu ini secara baik.
Majoriti sedang cuba menghubungi kedai ikan bakar tersebut namun gagal kerana nombor yang dikongsikan tiada lagi dalam perkhidmatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram