Ibu tengah pantang trauma 4 hari meringkuk dalam lokap akibat salah faham pihak berkuasa


  • Massa
  • Ahad, 17 Sep 2023

Jelas Nicole (kiri), hal tersebut masih lagi dipertimbangkan untuk dibawa ke muka pengadilan ataupun sebaliknya.

GARA-GARA salah faham antara pihak berkuasa, seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang mengalami trauma apabila terpaksa meringkuk di dalam lokap selama empat hari atas dakwaan jenayah pihak lain.

Liew Jin Yih atau dikenali sebagai Nichole, 25, mendedahkan, dia baru sahaja dibebaskan pada 7 September lalu setelah empat hari direman kerana didakwa melakukan penganiayaan terhadap pembantu rumah warga Kemboja, Sok Vann Chandy, 28.

Menceritakan semula hari kejadian, Nicole berkata, dianggarkan seramai 15 hingga 20 anggota polis menyerbu rumah ibunya di Taman Seri Jempol, Bahau, Negeri Sembilan.

“Ibu saya orang pertama yang menyedari kehadiran pihak polis dan terus mengejutkan semua ahli keluarga yang sudah pun tidur pada waktu mereka datang lebih kurang pukul 11.30 malam.

“Selepas pintu dibuka, kami terkejut sebaik melihat sepasukan anggota polis yang sebahagiannya lengkap beruniform berada di pekarangan rumah ibu.

“Paling mengejutkan, saya ditahan reman setelah ada laporan berlaku penderaan terhadap pembantu rumah saya,” katanya kepada media ketika ditemui dalam satu sidang media di Bandar Bukit Puchong, baru-baru ini.

Jelas Nicole, susulan daripada penangkapan tersebut, dia berasa sedikit curiga kerana sepanjang empat hari tempoh reman berlalu, tiada seorang pun anggota yang mengambil keterangan daripadanya sebagai prosedur soal siasat.

WhatsApp Image 2023-09-17 at 18.50.39

Hasil penilitian mendedahkan bahawa amah berusia 28 tahun berkenaan rupa-rupanya membuat laporan terhadap majikan terdahulu, sebelum Chandy mula bertugas di rumah Nichole di Puchong.

“Sebelum ini mereka beritahu bahawa penahanan saya adalah di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Sedia maklum, ia satu jenayah berat dan besar. Jadi, kenapa polis langsung tidak menyoal siasat saya?,” soalnya.

Selepas dibebaskan, keluarga serta kenalannya telah mendapatkan khidmat peguam untuk merujuk kes dihadapi Nichole ke beberapa pihak berwajib bagi mendapatkan penjelasan sebenar asbab dia ditahan.

Selepas beberapa hari kes itu dipanjangkan, hasil penilitian mendedahkan bahawa amah berusia 28 tahun berkenaan rupa-rupanya membuat laporan terhadap majikan terdahulu, sebelum Chandy mula bertugas di rumah Nichole di Puchong.

Nichole yang mengakui kakinya sering berasa kebas akibat kesejukan tidur pada setiap malam, apatah lagi kondisi tubuhnya yang masih lemah selepas bersalin bagaimanapun enggan menuding jari menyalahkan sebarang pihak.

“Saya masih terkejut, nak pejam mata pun payah masa nak tidur kerana masih teringat pengalaman duduk dalam lokap.

“Saya suarakan hal ini bukan untuk menuntut keadilan dengan menyabitkan pihak-pihak tertentu, sebaliknya sekadar memberi peringatan agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi kepada sesiapa,” tegasnya.

Pun begitu, Nichole menerangkan, hal tersebut masih lagi dipertimbangkan untuk dibawa ke muka pengadilan ataupun sebaliknya.

Sementara itu, Majoriti masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berhubung isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram