[VIDEO] Gara-gara minta perlahankan 'aircond' kenderaan, 4 sekawan dihalau pemandu e-hailing


  • Benua
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Tangkap layar video empat sekawan dihalau pemandu e-hailing dari kenderaannya di Indonesia baru-baru ini. —Agensi

HANYA kerana gara-gara meminta untuk memperlahankan suhu penghawa dingin kenderaan e-hailing yang dinaiki, empat sekawan ditinggalkan di tepi sebuah jalan raya baru-baru ini.

Difahamkan kejadian itu berlaku di salah sebuah lokasi di Makassar, Indonesia pada Rabu namun tidak dinyatakan lokasi sebenar.

Malah insiden yang berlaku pada pukul 11.03 malam tersebut turut menjadi tular dan dimuat naik di laman Instagram Terang Media pada Khamis.

Menurut mangsa yang tidak didedahkan namanya, pada hari kejadian dia dan tiga lagi orang kawannya telah menempah kenderaan e-hailing tersebut untuk menuju ke sebuah lokasi.

"Rakan saya yang duduk di bahagian penumpang hadapan meminta pemandu tersebut untuk memperlahankan suhu penghawa dingin kenderaan namun tidak diendahkan.

"Ketika itu juga, rakan saya menegur pemandu itu dengan cara yang baik dan meminta dia hanya menghalakan penghawa dingin tersebut ke arahnya sahaja.

"Namun, dia terus marah serta bertindak biadap dengan mengeluarkan perkataan yang kurang sopan.

"Rakan saya cuba menenangkan pemandu berkenaan namun dia masih lagi memarahi kami sebelum dia memberhentikan kenderaannya dan meninggalkan kami di tepi jalan raya," luahnya.

Tambah mangsa lagi, pemandu e-hailing tersebut bukan sahaja bersikap biadab namun dia turut mengancam untuk memukul salah seorang daripada mereka.

Setakat berita ini ditulis, difahamkan pengadu sudah pun membuat aduan kepada syarikat e-hailing tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram