[VIDEO] Anggota JPJ cedera dirempuh penunggang motosikal di SJR


  • Tular
  • Ahad, 17 Sep 2023

Tangkap layar video seorang anggota JPJ dirempuh seorang penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya (SJR) pada Ahad.

SEORANG anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera selepas dilanggar seorang penunggang motosikal yang merempuh sekatan jalan raya di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan, ketika kejadian anggota terbabit sedang menjalankan tugas pemeriksaan di di Kilometer 28, lebuh raya berkenaan menghala ke Port Dickson.

Penunggang motosikal berkenaan cuba melarikan diri daripada ditahan oleh pihak berkuasa kerana didakwa tiada lesen memandu dan tiada insurans kenderaan.

Menerusi video berdurasi lima saat itu memaparkan anggota terbabit terpelanting dan terhantuk di kepala akibat rempuhan itu.

Malah, penunggang motosikal tersebut turut dilihat terjatuh sebelum dia ditahan beberapa anggota JPJ yang lain.

Turut tular satu video memaparkan anggota yang tercedera itu dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, JPJ dalam kenyataan mengesahkan kejadian terbabit.

"Hasil siasatan mendapati, penunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR yang melanggar sekatan dan merempuh anggota berkenaan masih mempunyai dua senarai hitam yang masih aktif.

"Selain itu, lesen kenderaan motor penunggang terbabit didapati tamat tempoh sejak 18 Julai 2012; tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu kompeten.

“Penunggang tersebut telah diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Ia melibatkan Seksyen 23 (1) APJ 1987 kerana lesen kenderaan motor yang tamat tempoh; Seksyen 90 (1) kerana tiada perlindungan insurans; Seksyen 26 (1) kerana tiada lesen memandu dan tindakan sita di bawah Seksyen 64 (1) APJ 1987,” kata JPJ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram