Elak ikut jejak Mesir, Argentina sebab PMX 'sibuk' kurangkan defisit


  • Massa
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Kerajaan Perpaduan menyasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada tiga peratus atau lebih rendah dalam masa 10 tahun akan datang. — Gambar hiasan

TUMPUAN masyarakat kebelakangan ini kian terarah kepada isu penurunan defisit yang dilakukan oleh kerajaan Perpaduan dalam usahanya untuk memperbaiki pendapatan dan ekonomi negara menjelang 2024.

Menurut laporan media sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan untuk mencapai tujuh sasaran dalam tempoh 10 tahun termasuk menurunkan defisit fiskal kepada tiga peratus atau lebih rendah.

Namun, perkara itu menerima pelbagai spekulasi dan persoalan dalam kalangan rakyat yang kurang faham akan tujuan di sebalik tindakan yang diambil oleh Anwar Ibrahim.

Bertitik tolak daripada itu, seorang pempengaruh media sosial dikenali sebagai Nazri Hamdan ataupun @nazribiztalk di Twitter menjelaskan kronologi dan faktor yang merungkai kepada persoalan tersebut.

Gemar menjalankan kajian serta mengulas topik berkaitan isu ekonomi negara, Nazri Hamdan menjelaskan hutang kerajaan selepas 2009 berada di paras melebihi 50 peratus daripada Gross Domestic Product ataupun (GDP).

nazrii

Nazri Hamdan kerap membuat ulasan mengenai permasalahan ekonomi di laman TikTok.

"Sejak tahun 1998, pertumbuhan ekonomi negara kita adalah dijana oleh hutang kerajaan. Akan tetapi, sekarang ini jumlah hutang terkumpul kita dah mencecah RM1.2 trilion campur 'contingent liabilities' jadi RM1.5 trilion.

"Jika ia tidak lagi membuka mata kita untuk melakukan sesuatu dan terus berbelanja seperti tahun-tahun sebelum ini, sekejap sahaja RM1.5 trilion ini akan menjadi RM2 trilion dan akan jadi RM3 trilion," katanya.

Turut berkongsi beberapa contoh negara yang gagal menguruskan defisit dan muflis, dua negara yang boleh disifatkan sebagai modul buat Malaysia adalah Mesir dan Argentina.

1. Mesir

Nisbah hutang kepada GDP Mesir ialah 95 peratus. Negara ini juga mengalami salah satu aliran keluar pertukaran asing paling ketara tahun ini, dianggarkan sekitar $11 bilion (RM 51,524,000 bilion).

Mesir akan menanggung hutang sebanyak AS$100 bilion (RM 468 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuk bon besar-besaran AS$3.3 bilion (RM15.46 bilion) yang perlu dibayar pada 2024.

Justeru, Mesir terpaksa meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa pada bulan Mac.

2. Argentina

Pada 2001, Argentina gagal membayar sejumlah AS$93 bilion (RM 434.5 bilion) hutang luar negerinya.

Daripada kira-kira AS$81.8 bilion (RM 384.1 bilion) dalam bon yang gagal dibayar telah mengakibatkan kadar inflasi yang sangat dahsyat mencecah 124 peratus di negara terbabit.

Tambahnya, hutang yang terkumpul akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara terencat kerana kebanyakan hasil negara digunakan untuk bayaran faedah yang kian tinggi saban tahun.

"Wang ini sebenarnya kita boleh gunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

"Sekiranya ia tidak diatasi dan kerajaan tidak mengambil langkah seperti ini, kredit rating kita juga akan jatuh dan menyebabkan bon-bon kerajaan jadi tak laku.

"Untuk itu, kerajaan terpaksa menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi untuk jual bon tersebut dan sekali gus menjadikan hutang kerajaan meningkat," jelasnya.

Turut menyentuh soal pinjaman dana dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tindakan itu dikatakan hanya akan merugikan kerajaan dengan dasar ekonomi negara akan dikawal oleh pihak terbabit.

"Jika hutang kita terus naik dan tak mampu bayar, kita terpaksa berhutang misalnya dengan IMF. Ini akan membuatkan kita kehilangan kebebasan untuk melaksanakan dasar ekonomi sebab IMF akan kenakan syarat-syarat untuk kawal ekonomi negara.

"Defisit yang tidak terkawal boleh membawa kepada isu muflis. Banyak negara yang dah bankrap tak dapat bayar hutang kerana hasil kerajaan akan banyak digunakan untuk perbelanjaan hutang. Justeru, negara menuju ke arah kerosakan," katanya.

Untuk rekod, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini berkata, kemampuan menurunkan defisit fiskal kepada sasaran 3.5 peratus menjelang akhir 2025 akan menjadi penentu kepada negara untuk mengurangkan hutang pada tahun-tahun berikutnya.

Menurutnya, sekiranya peratus itu dapat diturunkan berdasarkan sasaran dalam tempoh berkenaan, ia mampu memberi keyakinan pelabur antarabangsa bahawa negara mempunyai disiplin fiskal yang baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram