SEORANG remaja mengalami kecederaan parah akibat dipukul dan dipijak tiga pelajar di sebuah sekolah dekat Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa cuba menghentikan satu pergaduhan besar yang berlaku di sekolahnya.
Akibat itu, dia kemudiannya dikatakan ditumbuk serta dipijak beberapa pelajar tingkatan dua sehingga sesak nafas dan pengsan ketika kejadian.
Satu rakaman tular memaparkan individu terbabit sedang diberikan rawatan oleh pengajar di sekolah berkenaan.
Di ruangan komen, kakak kepada pelajar terbabit tampil menjelaskan insiden yang berlaku dan menurutnya, adiknya hanya ingin meleraikan pergaduhan yang berlaku.
"Adik saya dipukul tiga orang pelajar sedangkan dia hanya seorang diri, bayangkan dipijak dan ditumbuk sampai sesak nafas sehingga pengsan.
"Ramai yang melihat tapi tidak mampu melawan kerana ramai yang menyokong si pembuli, dipukul lebih kurang pukul 12 tengah hari dan diberitahu pada 2 petang.
"Ingatlah pada si pembuli, hidupmu tidak akan aman sampai mati," katanya.
Namun, mangsa kini difahamkan sedang dirawat di hospital dan setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram