Beban guru berkurangan, orang awam ada peluang jadi Pengawas Peperiksaan SPM 2023


  • Primer
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Orang awam kini berpeluang menjadi sukarelawan yang bertugas sebagai Pengawas Peperiksaan SPM 2023. — Gambar hiasan

LEMBAGA Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini menawarkan permohonan sukarelawan sebagai Pengawas Peperiksaan dalam pelaksanaan peperiksaan bertulis bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 bermula 12 September hingga 31 Oktober 2023.

Tawaran tersebut dimaklumkan dalam satu pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM bertarikh 12 September 2023 dan ditandatangani oleh Timbalan Pengarah Peperiksaan, Sektor Dasar Pentaksiran, Basri Hassan.

Tawaran permohonan yang sebelum ini terbuka kepada kategori tertentu antaranya guru dan persara kerajaan dibuka kepada orang awam yang berminat untuk bertugas sebagai Pengawas Peperiksaan SPM yang dijadualkan bermula 30 Januari hingga 7 Mac 2024.

Menerusi pekeliling tersebut, dimaklumkan bahawa orang awam yang berusia 18 tahun ke atas turut diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada program tersebut.

Sehubungan dengan itu, berikut merupakan beberapa kriteria yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi pemilihan pemohon.

1. Prinsip: Tawaran ini adalah berlandaskan prinsip sukarelawan.

2. Elaun: Elaun dibayar berdasarkan jumlah hari bertugas dengan kadar bayaran semasa bagi bukan penjawat awam.

3. Jawatan: Sukarelawan bertugas sebagai pengawas peperiksaan.

4. Tugas:

i. Membantu Ketua Pengawas Peperiksaan mengawas perjalanan peperiksaan dalam dewan atau bilik peperiksaan.

ii. Membantu Ketua Pengawas Peperiksaan untuk mengedar kertas peperiksaan dan atau apa-apa bahan peperiksaan berdasarkan keperluan semasa.

iii. Membantu Ketua Pengawas Peperiksaan memungut kertas peperiksaan, skrip jawapan peperiksaan, kertas jawapan objektif dan atau apa-apa bahan peperiksaan.

iv. Mengawas calon peperiksaan untuk ke tandas dan masuk semula ke dewan atau bilik peperiksaan.

v. Mengawas calon peperiksaan dalam dewan atau bilik peperiksaan sepanjang masa peperiksaan berlangsung.

vi. Membantu Ketua Pengawas Peperiksaan berdasarkan arahan dari semasa ke semasa yang telah ditetapkan oleh LP.

5. Syarat permohonan: Pemohon hendaklah memenuhi syarat kelayakan seperti yang berikut:

i. Warganegara Malaysia.

ii. Mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan SPM atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

iii. Berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 65 tahun.

iv. Pemohon adalah pesara atau pelajar kolej atau universiti yang sedang dalam tempoh cuti semester sepanjang SPM berlangsung atau lepasan sekolah, kolej atau universiti.

v. Bebas dari sebarang rekod jenayah dan tindakan mahkamah.

vi. Mempunyai pengangkutan sendiri.

6. Kaedah memohon:

i. Permohonan melalui Pengarah Pendidikan Negeri menggunakan pautan https://bit.ly/44KmnxL.

ii. Permohonan yang berjaya dan disenarai pendek sebagai calon sukarelawan akan dipanggil untuk temu duga di Pejabat Pendidikan Daerah yang berdekatan.

7. Penerimaan permohonan:

i. Pemohon yang berjaya akan dikehendaki menjawab surat tawaran dalam tempoh yang ditetapkan.

ii. Pemohon yang tidak menerima sebarang jawapan selepas satu bulan dari tarikh tutup iklan adalah dianggap tidak berjaya.

iii. Segala perbelanjaan berkaitan dengan permohonan ini adalah ditanggung sendiri oleh pemohon.

Sebelum ini, kategori yang ditetapkan untuk bertugas sebagai pengawas peperiksaan SPM antara lain dalam kalangan guru-guru sekolah.

Selain guru, berikut merupakan kategori lain yang boleh dilantik sebagai petugas SPM.

Kategori 1: Pesara Kerajaan (skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan).

Kategori 2: Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG); Lepasan Asasi/ Matrikulasi.

Kategori 3: Guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Kerajaan Negeri/ Sekolah Swasta/ Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Kategori 4: Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP)/ Pekerja Kontrak Kerajaan.

Kategori 5: Kakitangan Bukan Kerajaan/ Pesara Kerajaan/ Pesara Swasta.

Golongan dalam kategori berkenaan boleh dilantik bagi meningkatkan kesejahteraan guru selain mengurangkan bebanan tugas mereka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram