KPM kenal pasti, siasat dakwaan guru sekolah buli pelajar OKU


  • Primer
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Fadhlina (tengah) ketika Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sudah mengenal pasti sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang terpalit dengan isu pelajar orang kelainan upaya (OKU) dibuli oleh guru sekolah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, kementerian ketika ini sedang menyiasat mengenai dakwaan yang didedahkan menerusi laman media sosial X (Twitter) pada Isnin.

"Sekolah itu dah dikenal pasti dan kes dalam siasatan.

"Insya-ALLAH kita akan tangani (isu tersebut) mengikut proses kerja kita.

"Kita akan semak semula sama ada proses itu dilaksanakan mengikut proses kerja kementerian dan setakat ini (kes itu) dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

 Fadhlina menyarankan orang ramai agar membuat laporan mengenai kes buli menerusi platform yang disediakan KPM.

Fadhlina menyarankan orang ramai agar membuat laporan mengenai kes buli menerusi platform yang disediakan KPM.

BACA LAGI : 'Dah nampak jalan sikit,' bapa remaja OKU dibuli guru lega nasib anak dapat perhatian media

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, seorang wanita mendedahkan bahawa adiknya yang berstatus OKU didakwa sering menjadi mangsa buli seorang guru wanita sehingga mengalami trauma.

Menerusi ciapan di @pedoqpop, kakak remaja tersebut nekad mendedahkan perkara itu di media sosial selepas mendapati trauma adiknya menjadi semakin teruk.

Dalam pada itu, Fadhlina turut menyarankan orang ramai agar membuat laporan mengenai kes buli atau aduan bersifat umum menerusi platform yang disediakan oleh KPM.

"Sebab itu saya sarankan semua untuk ikut proses dan alur kerja kita seperti mana yang selalu KPM war-warkan melalui aduan rasmi kita.

"Kita ada laluan di platform media sosial dan juga platform khusus di peringkat KPM.

"Kita nak anjurkan kepada masyarakat supaya menggunakan saluran yang betul supaya kita dapat tangani perkara ini dengan lebih efisien dan efektif," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram