SEORANG pemandu kren Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilaporkan maut dalam satu kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Alor Setar-Sungai Petani, di Kota Sarang Semut, Yan, Kedah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 4 pagi pada Rabu.
Ahmad Shukri berkata, siasatan awal mendapati pemandu treler, Amiroolhakim Kamaroolzaman, 27 dalam perjalanan dari arah Alor Setar ke Sungai Petani manakakala pemandu kren TNB, Hasbullah Mohd Salleh, 38, datang dari arah bertentangan.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang dipandu Amiroolhakim hilang kawalan sebelum bahagian hadapan lori itu memasuki laluan bertentangan.
"Kenderaan itu kemudiannya bertembung dengan bahagian hadapan kren TNB.
"Hasbullah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram