Pemandu maut lepas lori 10 tan terhumban dalam laut di Lumut


  • 112
  • Rabu, 05 Apr 2023

Sebuah lori 10 tan dilaporkan terhumban ke dalam laut di Terminal Maritim Lumut dekat Manjung, Perak. — Facebook/BBP Sitiawan

SEORANG lelaki dilaporkan mati lemas apabila lori 10 tan yang dipandunya terjatuh ke dalam laut di Terminal Maritim Lumut dekat Manjung, Perak pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Azizi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu daripada pihak pelabuhan pada pukul 5.30 pagi Rabu dan operasi menyelamat turut dibantu anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pulau Pangkor.

Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Aqil Rasydan Razmi berusia 20-an berjaya dibawa naik pada pukul 9.45 pagi Rabu, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

"Sebuah lori 10 tan terjatuh ke dalam laut pada kedalaman kira-kira 11 meter. Kapal yang berdekatan pelabuhan telah ditarik bagi memudahkan operasi penyelamatan dilakukan.

"Dua unit kren dari pelabuhan dalam tindakan untuk membawa naik lori berkenaan ke tebing," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Azizi berkata, mangsa dihantar ke hospital Manjung untuk bedah siasat dan operasi tamat sepenuhnya pada 10.13 pagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram