[VIDEO] Tiada laluan pejalan kaki, penuntut universiti maut digilis kren


  • Benua
  • Isnin, 07 Nov 2022

Tangkap layar seorang remaja dirempuh oleh kren ketika sedang berjalan kaki pulang ke rumah.

SIAPA sangka perjalanan dari perhentian bas untuk pulang ke rumah menjadi detik terakhir seorang remaja perempuan apabila dia terlibat dalam satu kemalangan.

Insiden menyayat hati itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis di Karnataka, India yang menunjukkan sebuah kren merempuhnya dari belakang.

Dalam rakaman tersebut menunjukkan remaja yang dikenali sebagai Noor Fatima itu berjalan di tepi jalan raya memandangkan kawasan tersebut tidak mempunyai laluan pejalan kaki.

Sejurus rakaman kemalangan itu tular di media sosial, pemandu kren yang dikenali sebagai Periyaswami ditahan pihak berkuasa.

Disebabkan kejadian malang itu, rata-rata pengguna Twitter meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Unit Polis Trafik Bengaluru.

Hal ini kerana pihak berkuasa seperti tidak mengambil peduli tentang keselamatan penduduk khususnya pejalan kaki.

“Sangat menyedihkan. Lihat saja di laluan bahu jalan penuh dengan semak samun. Mangsa terpaksa berjalan di laluan kenderaan. Malangnya tiada siapa pun yang dipersalahkan dalam hal ini. Buang masa saja memberi komen. Tiada tindakan akan diambil oleh sesiapa pun. Salah satu permata sudah hilang,” kata Savitha Murthy.

"Kesalahan tidak memakai topi keledar polis boleh lihat walaupun dari jarak dua kilometer. Tetapi kenderaan seperti kren ini mengapa polis tidak mahu mengambil tindakan," kata Ukhspeaks.

Difahamkan pihak berkuasa masih tidak memberi sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu melainkan menahan pemandu kren berkenaan.

Noor Fatima juga merupakan pelajar di sebuah universiti dalam jurusan Komunikasi Perniagaan.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram