BERPANTANG maut sebelum ajal.
Itulah peribahasa sesuai yang dialami seorang lelaki apabila kenderaan miliknya dipercayai dihempap serpihan projek binaan di hadapan Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 8.45 pagi Jumaat.
Kejadian tersebut tular di media sosial apabila orang ramai yang berada di lokasi terbabit berkongsi gambar keadaan kereta jenis Toyota Vios itu.
Keadaan kereta tersebut dilihat hancur di bahagian pemandu kerana serpihan terbabit dipercayai mengenai tepi kenderaan itu.
Keadaan kereta itu selepas kenderaannya dihempap serpihan projek binaan. — Facebook
Seorang saksi, Eyda Dhiyana berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dan terdengar bunyi yang sangat kuat datang dari lokasi kejadian.
"Saya tengah naik motor dekat lampu isyarat berdekatan nak pergi ke tempat kerja di Wisma Central.
"Ketika dalam perjalanan itu saya terdengar bunyi kuat, masa itu saya tengok serpihan itu dah jatuh dekat atas kereta," katanya pada Majoriti.
Dia turut mendedahkan, mangsa ketika itu terselamat daripada terkena serpihan itu kerana dia singgah membeli barangan di kedai berhampiran.
"Nasib owner kereta keluar pergi 7-Eleven, kalau tak mesti dah arwah.
"Ketika kejadian mangsa dalam 7-Eleven ramai kata, dia parking kereta tepi jalan depan 7-Eleven itu," jelasnya.
Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian. — Facebook
Eyda turut menceritakan situasi orang ramai ketika kejadian itu berlaku.
"Ketika kejadian semua tengok ke arah bunyi kuat itu, lepas itu ramai tengok dekat atas ada kren," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, objek yang mengenai kereta jenis Toyota Vios itu dipercayai daripada binaan bangunan berhampiran.
"Kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 8.45 pagi dan objek tersebut merupakan satu keping staging daripada tingkat 56 bangunan 80 tingkat yang sedang dibina berhampiran lokasi kejadian.
"Objek telah jatuh atas kereta jenis Toyota Vios yang berada dihadapan 7-Eleven dan ketika kejadian berlaku tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram