[VIDEO] Padah digigit anjing jiran, budak lelaki dijangkiti rabies maut di pangkuan bapa


  • Benua
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Tangkap layar seorang kanak-kanak lelaki menangis kesakitan di pangkuan bapanya selepas dijangkiti virus rabies.

SEORANG budak lelaki berusia 14 tahun maut di pangkuan bapanya akibat jangkitan rabies di Ghaziabad, Uttar Pradesh, India pada Rabu.

Difahamkan, individu terbabit telah menanggung kesakitannya selama lebih sebulan selepas digigit oleh anjing peliharaan jirannya dan merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan bapanya.

Menurut laporan polis, kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Shahvaz enggan memberitahu keluarganya kerana terlampau takut dan mula mengalami kesan sampingan apabila menunjukkan tingkah laku ganjil dan berhenti makan.

Dia kemudiannya dibawa ke salah sebuah hospital di New Delhi untuk menerima rawatan sebelum dihantar ke pakar perubatan Ayurveda di Bulandshahr, India.

Dalam satu rakaman tular di laman Twitter memaparkan kanak-kanak itu sedang menderita kesakitan di samping bapanya.

Ketika kejadian, Shahvaz dilaporkan sedang dalam perjalanan hospital namun jangkitan itu merebak dengan pantas sehingga mengalami sesak nafas dan maut ketika kejadian.

Aduan polis telah dibuat berhubung insiden tersebut dan tindakan akan diambil terhadap pemilik anjing berkenaan.

Untuk rekod, India menyumbang 36 peratus daripada kematian rabies global dengan jangkitan itu adalah sejenis virus maut yang boleh tersebar melalui air liur haiwan yang dijangkiti.

Sekiranya anda digigit, adalah penting untuk mendapatkan rawatan segera bagi mengelakkan sebarang jangkitan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram