[VIDEO] Giat samun bersenjata di Ipoh, penunggang moto Dash diburu ramai


  • Tular
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Tangkap layar seorang lelaki bertopi keledar melakukan kegiatan samun di sebuah premis bank di Ipoh.

SEORANG individu lelaki dirakam melakukan kegiatan samun di sebuah premis bank dekat Ipoh, Perak pada Khamis.

Ketika kejadian, pemuda bertopi keledar hitam itu dilihat menerjah ke arah seorang wanita yang sedang berurusan di mesin ATM terbabit sambil mengacukan pisau ke arahnya.

Jeritan beberapa individu turut kedengaran dalam insiden berkenaan yang sekali gus mencetuskan kekecohan di situ dengan pengawal keselamatan bertugas turut tampil memberikan bantuan dan meminta pertolongan ramai susulan kejadian tersebut.

Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), insiden itu meraih lebih 10,000 jumlah tontonan di laman media.

Dalam pada itu, si pelaku sebelum ini dikatakan pernah terbabit dengan beberapa lagi kes rompakan di sekitar Ipoh dengan menaiki motosikal berjenama Honda Dash.

Namun, nombor plat pendaftaran kenderaannya difahamkan kerap ditukar dan mengundang kesukaran untuk orang ramai menjejakinya.

Di laman Facebook, ada pihak menjanjikan ganjaran wang ringgit bagi sesiapa yang boleh memberikan maklumat mengenai penyamun terbabit.

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung perkara itu dan orang ramai ataupun saksi kejadian diminta tampil membuat laporan di balai berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram