Keluar fatwa politik, Muhyiddin disoal siasat polis Selasa depan


  • 112
  • Sabtu, 09 Sep 2023

Pada Sabtu lepas, Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ‘haram memberikan undi kepada Suhaizan’ ketika berucap dalam Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas, di Johor Bahru, Johor ketika kempen PRK Parlimen Pulai.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur elemen 3R iaitu berkaitan agama, bangsa dan raja ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis akan memanggil Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada 12 September ini untuk diambil keterangan berhubung siasatan tersebut.

"Ada dua IP (kertas siasatan) dibuka terhadap Muhyiddin susulan kenyataan beliau (berhubung) ‘fatwa’ dan kenyataan berkenaan orang Melayu akan hilang kuasa.

"Jadi ada dua IP dibuka dan kita akan panggil beliau pada 12 Sept untuk ambil keterangan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses mengundi bagi Parlimen Pulai di pusat pengundian Maktab Sultan Abu Bakar, di Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

Ayob Khan berkata, buat masa ini, tiada kertas siasatan baharu dibuka melibatkan pemimpin parti politik lain berhubung isu 3R.

Pada Sabtu lepas, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ‘haram memberikan undi kepada Suhaizan’ ketika berucap dalam Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas, di Johor Bahru, Johor ketika kempen PRK Parlimen Pulai.

1133281

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendakwa parti orang Melayu dilihat sudah hilang kuasa, selain mendakwa kerajaan ketika ini seolah-olah tidak faham masalah orang Melayu.

Pada 4 September lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis membuka kertas siasatan terhadap Muhyiddin mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Mengulas mengenai siasatan terhadap Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Ayob Khan berkata, polis telah melengkapkan kertas siasatan dan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Negara itu turut mengingatkan dan menasihatkan pemimpin politik serta masyarakat supaya tidak mengeluarkan lagi kenyataan berkaitan 3R termasuk ketika berkempen bagi PRK Pelangai, Pahang, hujung bulan ini.

"Polis sentiasa memantau semua sosial media, kalau ada kita akan buka kertas siasatan tapi nanti bila sudah disiasat, ditahan, didakwa dan dihukum, baru timbul rasa (meminta) simpati dan lain-lain,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas pemergian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram