PAS mengumumkan gabungan itu bakal menampilkan Menteri Besar dan TImbalan Menteri Besar baharu sekiranya gabungan itu menang di Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada Sabtu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemimpin bakal menerajui negeri itu itu membabitkan seorang tokoh agamawan dan tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Katanya, keputusan itu dicapai hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang dipengerusikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Khamis di Rusila, Terengganu.
Menurut Takiyuddin, PAS juga mencapai kata sepakat bagi mengekalkan Menteri Besar di dua negeri yang disandangnya iaitu Terengganu dan Kedah jika berjaya terus menguasai kedua-dua negeri terbabit selepas PRN.
"PAS dengan ini menyeru semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada esok hari, Sabtu 12 Ogos 2023, dengan memilih pemimpin yang prihatin, bersih dan berkebajikan dari PAS dan Perikatan Nasional serta berharap proses pilihan raya di enam negeri berjalan dengan aman dan lancar," katanya dalam satu kenyataan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menteri Besar sementara Kelantan kini disandang oleh Datuk Ahmad Yakob yang juga calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan, manakala timbalannya adalah Datuk Mohd Amar Abdullah yang merupakan penyandang di DUN Panchor.
Sementara itu, jawatan Menteri Besar di Terengganu pula kini disandang oleh Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sementara di Kedah pula ialah Datuk Seri Muhamamd Sanusi Md Nor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram