Bukan sakit jantung, Abdul Hadi dibenarkan pulang ke rumah


  • Primer
  • Ahad, 02 Jul 2023

Abdul Hadi (kanan) dibenarkan keluar dari wad HSNZ pada Ahad selepas kesihatannya bertambah baik. — Facebook/Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu, pada Sabtu dibenarkan pulang ke rumah pada pukul 2 petang pada Ahad.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman, ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Beliau berkata, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, dimasukkan ke wad pada Sabtu disebabkan demam dan bukannya masalah jantung, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya dan beberapa Exco negeri serta pimpinan PAS Terengganu ada melawat beliau tengah hari tadi (Ahad). Keadaan beliau baik dan doktor telah memberi pelepasan (Abdul Hadi) pulang pada pukul 2 petang.

"Sebentar tadi pun saya telah hubungi keluarga tuan guru dan dimaklumkan beliau sudah tiba di rumahnya di Rhu Rendang (Marang),” katanya.

Pada Sabtu, kesihatan Abdul Hadi dilaporkan merosot dan terpaksa dimasukkan ke wad HSNZ bagi mendapatkan rawatan. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram