Remaja didakwa diliwat, dikurung 10 hari selepas termakan umpan kerja di pasar raya


  • Tular
  • Rabu, 13 Sep 2023

Seorang remaja lelaki didakwa diliwat dan dikurung di sebuah rumah selepas termakan umpan tawaran kerja oleh individu yang dikenali melalui aplikasi dalam talian. — Gambar Hiasan

SEORANG remaja lelaki didakwa diliwat dan dikurung di sebuah rumah selepas termakan umpan tawaran kerja oleh individu yang dikenali melalui aplikasi dalam talian.

Menurut seorang sumber, remaja berusia 18 tahun itu pada awalnya ditawarkan bantuan mencari pekerjaan oleh seorang lelaki pada Julai lalu.

Namun katanya, selepas beberapa hari berkenalan, suspek menawarkan diri untuk menumpangkan mangsa ke tempat kerja yang dikatakan.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju dan menaiki kenderaan suspek yang mengambilnya di rumah mangsa di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Suspek membawa mangsa ke rumahnya di Kampung Pandan dan berjanji akan membawanya ke pasar raya untuk bekerja,” kata sumber itu.

Tambahnya lagi, seperti dijanjikan suspek membawa mangsa ke pasar raya tersebut untuk mencari pekerjaan sebelum membawanya pulang semula ke rumah lelaki itu.

“Bagaimanapun, mangsa diarah melakukan kerja rumah dan tidak dibenarkan keluar rumah.

“Dia dikurung selama 10 hari dan diliwat oleh suspek beberapa kali,” ujarnya.

Mangsa turut diugut supaya tidak mendedahkan kejadian tersebut kepada sesiapa sebelum dia akhirnya dibenarkan pulang ke rumah.

Mangsa yang berada dalam keadaan trauma hanya memberitahu keluarganya tentang pengalaman pahit itu baru-baru ini.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

“Suspek sudah dikenal pasti dan kita siasatan masih lagi berjalan. Kita dalam proses pengesahan keterangan mangsa dan menunggu hasil pemeriksaan doktor,” katanya. — The Star/ Farik Zolkepli

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram