'Please don't koyak', MB Kedah dakwa dilarang hadiri program kerajaan pusat termasuk LIMA 2023


  • Politik
  • Rabu, 29 Mac 2023

Muhammad Sanusi mendakwa beliau dilarang hadiri program kerajaan pusat.

MENTERI Besar, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor mendakwa beliau dilarang menghadiri semua program anjuran kerajaan Persekutuan termasuk acara Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) di Langkawi, Kedah pada Mei ini.

Beliau mendakwa perkara itu merupakan keputusan terbaharu Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan terbaharu Kabinet PMX – Haramkan MB Kedah dalam semua majlis Kerajaan Pusat termasuk LIMA. Apa nak buat..."

“If you panaih (panas), please don’t koyakk (tapi jangan marah)...,” tulisnya ringkas di Facebook tanpa menjelas lanjut keputusan Kabinet itu.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) merupakan antara pimpinan gabungan tersebut yang lantang dalam kritikannya terhadap pimpinan kerajaan.

Pada masa sama, beliau juga ketika ini berhadapan dengan saman fitnah daripada Anwar berhubung ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15).

Ia antara lain membabitkan kenyataannya berhubung kes liwat membabitkan Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sanusi dalam pembelaannya bagaimanapun menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa niat jahat dan memfitnah Ahli Parlimen Tambun itu.

Sebaliknya, beliau berkata, kenyataan itu hanya sekadar mengkritik Anwar bagi tujuan kempen PRU15.

LIMA merupakan acara pameran teknologi berprestij negara yang diadakan secara dwi-tahunan di Langkawi melibatkan pempamer dan delegasi antarabangsa.

Dijangkakan 110 pesawat dan aset udara serta 110 kapal dan aset maritim bakal dipamerkan pada acara tersebut yang melibatkan kira-kira 600 syarikat dalam industri pertahanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram