Kes liwat pemuda OKU dalam kebun sayur di Batu Gajah, penganggur direman 5 hari


  • 112
  • Selasa, 02 Mei 2023

Seorang lelaki kurang upaya (OKU) menjadi mangsa liwat di sebuah kebun sayur dekat Batu Gajah, Kinta, Perak. — Gambar hiasan

SEORANG lelaki kurang upaya (OKU) melalui detik hitam apabila menjadi mangsa liwat di sebuah kebun sayur dekat Batu Gajah, Kinta, Perak pada Sabtu.

Mangsa berusia 28 tahun yang mengalami lemah intelektual itu dipaksa melakukan persetubuhan luar tabii dalam sebuah pondok di kawasan kebun berkenaan sekitar pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek yang merupakan kenalan mangsa dikatakan telah menawarkan diri untuk menghantar mangsa pulang ke rumah sebelum membawanya ke tempat kejadian.

"Polis menerima laporan kejadian itu pukul 4.32 petang pada Ahad.

"Bertindak atas maklumat tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah berjaya melakukan penangkapan terhadap suspek pada Isnin untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, dalam penahanan sekitar pukul 11.30 pagi itu, polis turut merampas sebuah kereta dan telefon bimbit.

Menurutnya, suspek berusia 36 tahun dan tidak bekerja telah direman selama lima hari sehingga 6 Mei ini bagi siasatan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis atau pegawai penyiasat, Inspektor Nurhidayah Omar di talian 013-3976564 untuk membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram