Warga asing tak mengaku rogol, liwat anak perempuan 3 tahun dalam tandas masa bini keluar bekerja


Seorang lelaki warga India mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol dan seks luar tabii terhadap anaknya. — Gambar hiasan

SEORANG lelaki warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Johor pada Selasa atas dua pertuduhan merogol dan melakukan hubungan seks luar tabii terhadap anak perempuannya bulan lepas.

Tertuduh yang berusia 45 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu merogol anak perempuannya yang berusia tiga tahun yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol orang yang tidak dibenarkan dalam undang-undang perkahwinan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dengan niat melakukan hubungan seks luar tabii ke atas mangsa dengan meliwatnya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah tanpa kebenaran.

Ia memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di dalam tandas di rumah keluarga di Taman Bukit Mewah, Tampoi, Johor pada 13 Disember 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili.

Dalam prosiding tersebut, Danial memohon agar mahkamah tidak membenarkan ikat jamin kerana perbuatan itu merupakan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Beliau turut menyatakan bahawa tertuduh tinggal bersama mangsa yang sekali gus boleh menimbulkan peluang buatnya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Mahkamah bersetuju untuk tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan tarikh pada 12 Mac untuk sebutan kes.

Difahamkan, tertuduh ditahan polis pada pukul 11 pagi, 28 Disember lepas selepas menerima laporan polis daripada isterinya.

Kejadian berlaku ketika isteri yang merupakan warga tempatan bekerja di Singapura dan tertuduh tinggal bersama mangsa serta dua lagi anaknya manakala dua lagi berada di sekolah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram