SEORANG ibu menuntut keadilan buat anak lelakinya selepas remaja berusia 15 tahun itu menjadi mangsa liwat di sebuah pusat tahfiz di Georgetown, Pulau Pinang pada 2021.
Meskipun sudah dua tahun berlalu, wanita tersebut yang dikenali sebagai Norsuraya Mohd Noor menjelaskan bahawa si pelaku masih bebas di luar sana selepas kes mahkamah kerap ditundakan atas alasan tidak munasabah.
Merupakan seorang ibu tunggal yang kurang berkemampuan untuk melantik peguam, Norsuraya meminta jasa baik ramai untuk kongsikan kes berkenaan bagi menuntut keadilan yang sewajarnya.
Pada Rabu, wanita itu tampil dengan perkongsian di laman Facebook peribadinya, menceritakan kisah penuh di sebalik kejadian malang yang menimpa anak lelakinya pada dua tahun lalu.
Menurut Norsuraya, anaknya sebelum ini dituduh menjalin hubungan sejenis dengan rakan di sekolahnya namun selepas disoal siasat, dia mendapati bahawa remaja itu sebenarnya merupakan mangsa liwat salah seorang guru di sekolahnya.
"Saya tanya anak saya apa yang berlaku sebenarnya dan dia diminta untuk memegang kemaluan ustaznya.
"Setiap malam ustaznya dikenali dengan nama Abu Ubaidah akan memanggil Aidil masuk ke bilik dan pada satu hari, rakannya memberitahu bahawa dia keluar dengan air mani di tapak tangan.
"Hancur hati seorang ibu apabila dapat tahu anak yang diletakkan harapan untuk menjadi hafiz, dijadikan mangsa seksual," katanya.
Antara perkongsian Norsuraya yang memaparkan anaknya bersama beberapa pelajar lain di pusat tahfiz tersebut. — Facebook/Norsuraya Mohd Nor
Dakwanya lagi, anaknya diarahkan untuk tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa atas dasar mahu menjaga aib di samping hadis agama yang menuntut umatnya saling bermaafan.
"Ayat yang ustaz dia sering katakan adalah - 'Nabi pun ampunkan umat, inikan pula kita sebagai manusia biasa'," tambahnya.
Rentetan daripada kejadian itu, Norsuraya berkata, anaknya mengalami kemurungan dan tekanan malah apa yang lebih merisaukannya, remaja itu semakin berubah dan mula belajar untuk mengenali agama lain.
Untuk rekod, Norsuraya sudah melaporkan kes berkenaan kepada polis dan kes sudah di peringkat prosiding mahkamah, namun mendakwa berlaku kelewatan atas alasan tertentu.
Sehubungan itu, wanita berkenaan memohon agar prosiding kes berkenaan dipercepatkan antara lain kerana tidak mampu untuk menanggung yuran guaman.
Dalam pada itu, seorang individu dipercayai Ahli Peguam dan Pengguna Malaysia di ruangan komen Facebook yang prihatin dengan situasi dihadapi Norsuraya menjelaskan bahawa terdapat beberapa proses perlu dilalui di mahkamah.
"Kes mahkamah ada proses puan, kali pertama sebutan pertuduhan, jika suspek tidak mengaku salah akan diikat jamin.
"Kali kedua adalah serahan dokumen dan sebutan di peringkat ini boleh berlaku beberapa kali bergantung kepada keperluan dokumen.
"Lain kes lain keperluan dokumentasinya dan apabila dokumen sudah lengkap, ada kemungkinan pihak peguam bela suspek mahu menghantar representasi dan sidang akan ditunda ke satu tarikh lagi untuk sebutan sama ada diterima ataupun ditolak.
"Andai ditolak, peguam bela boleh hantar representasi kali kedua atau mahkamah boleh perintahkan untuk menjalani bicara terus dan ada yang akan ambil masa bertahun-tahun lamanya," jelasnya.
Turut bersimpati atas nasib menimpa remaja lelaki tersebut, dia berharap agar mangsa diberikan rawatan emosi di pusat rawatan bagi mengelakkan sebarang kelakuan aneh yang mungkin boleh berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram