PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menerima kunjungan pelakon terkemuka India, Rajinikanth.
Pertemuan itu berlangsung di pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Anwar berkata, beliau menghargai penghormatan yang diberikan oleh Rajinikanth terhadap perjuangannya, terutama berkaitan isu kesengsaraan dan penderitaan rakyat.
Antara yang dibincang secara santai pastinya berkaitan elemen kemasyarakatan yang beliau perjuangkan untuk dimasukkan dalam filem-filem Rajinikanth kelak.
Lebih dikenali sebagai ‘Thalaiva’ (pemimpin) dalam kalangan peminatnya, bintang filem itu sentiasa dikelilingi peminat di bukan sahaja di negara kelahirannya, malah juga di Malaysia.
Justeru tidak hairanlah ada yang berpendapat, dengan sumbangan yang diberikan, ditambah popularitinya sebagai superstar, tidak mustahil satu hari nanti dia akan menerima anugerah daripada kerajaan Malaysia.
Fenomena 'Superstar Rajinikanth' melanda negara, apabila pelakon terkenal India itu memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran filem Kabali dengan lokasi lain di Chennai, Hong Kong dan Bangkok pada tahun 2015.
Pelakon paling berpengaruh di India itu bukan sekadar memilih Malaysia, malah menjadikan negara ini sebagai kediamannya selama lebih sebulan, sesuatu yang tidak pernah dilakukan selama ini.
Menariknya, produksi Kabali juga bersetuju untuk memuatkan iklan Tahun Melawat Malaysia 2016 apabila filem berkenaan ditayangkan di kesemua 6,000 pawagam seluruh dunia.
Untuk rekod, Malaysia sebenarnya sudah beberapa kali mengurniakan gelaran kepada individu dari luar negara terutamanya para selebriti.
Berikut Majoriti senaraikan tiga selebriti luar negara yang pernah menerima penganugerahan daripada kerajaan Malaysia :
1) Shah Rukh Khan
Bintang bollywood, Datuk Shah Rukh Khan menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Jadi ke-70 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob pada Oktober 2008.
Penganugerahan itu sebagai menghargai sumbangannya terhadap perkembangan pesat industri filem Hindustan di rantau ini, termasuk Malaysia.
Bagaimanapun, seperti diduga, penganugerahan itu menimbulkan kritikan banyak pihak yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan gelaran Datuk yang diberikan.
Namun begitu, Ketua Menteri Melaka ketika itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menegaskan gelaran itu tidak akan ditarik balik walaupun banyak pihak mempersoalkan tentang perkara berkenaan.
Tegas beliau, pelakon yang pernah popular menerusi filem Kuch Kuch Hota Hai itu turut memberi sumbangan dari segi mempromosi pelancongan negeri tersebut yang mana sebelum ini enam buah filem lakonannya pernah menjalani penggambaran di situ.
Pelakon berusia 58 tahun itu memulakan kariernya dengan muncul dalam satu siri televisyen pada 1988 dan muncul kali pertama dalam filem Dewana pada 1992 yang menjulang namanya di Bollywood.
Pada sesi khas itu, busana Baju Melayu Cekak Musangnya ditaja oleh Sovereign Wear Sdn Bhd, sebuah syarikat butik di Kuala Lumpur manakala samping songket rasmi negeri Melaka bermotif bunga kesidang disumbangkan oleh Institut Seni Malaysia Melaka.
2) Jackie Chan
Jackie Chan dikurniakan gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2015.
Pelakon Hong Kong dan juga bintang Hollywood, Jackie Chan dikurniakan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Fberuari 2015.
Jackie Chan telah memberikan sumbangannya dalam mempromosikan Malaysia dan Kuala Lumpur khususnya menerusi filem popularnya, Police Story 3 pada tahun 1992 selain memiliki bilangan peminat yang ramai di negara ini.
Malah, filem tersebut turut dibintangi oleh pelakon kelahiran tanah air, Michelle Yeoh.
Namun begitu, selain Shah Rukh Khan, Jackie Chan turut menerima kritikan orang ramai atas pengurniaan darjah tersebut.
Bagaimanapun Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menegaskan, pelakon aksi berusia 69 tahun itu layak menerima anugerah tersebut kerana dirinya adalah seorang pelakon yang mempunyai ramai peminat di Malaysia.
Dengan statusnya itu, dia diyakini mampu menaikkan nama Malaysia khususnya Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.
3) Rossa
Rossa menerima gelaran Datuk Seri pada 18 September 2011.
Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa Roslaina Handiyani menerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada 18 September 2011.
Dia menyifatkan penganugerahan yang diterima sebagai hadiah terindah sempena ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada tanggal 9 Oktober.
Pemilik nama sebenar Rosa Roslaina Handiyani itu berkata, penganugerahan pingat tersebut akan menjadi pemangkin dalam karier seninya di industri muzik serantau.
"Saya amat bersyukur kerana tahun ini memberi banyak kebahagiaan kepada saya. Selepas mendapat Anugerah Khas Planet Muzik (APM2018) yang berlangsung di Singapura pada 28 September lalu, saya dapat pula anugerah (gelaran Datuk Seri) ini," kata Rossa.
Pelantun lagu Pudar itu sebelum ini pernah menerima gelaran 'Datuk' daripada Sultan Ahmad Shah pada tahun 2013. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram