CALON PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Dr Maszlee Malik mencuri tumpuan apabila tampil berbahasa Tamil dalam satu video kempen yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.
"Vanakam, salam sejahtera, jangan lupa untuk mengundi. Jangan takut Covid-19.
"SOP (prosedur operasi standard) telah ditetapkan. Saya Maszlee, calon DUN N27 Layang-Layang. Vanakam," katanya dalam video berdurasi 20 saat itu.
Maszlee turut membuat gaya tangan seperti aksi watak utama dalam filem Tamil popular, Sivaji The Boss lakonan Rajinikanth.
Dia turut menggayakan kaca mata hitam aviator untuk meniru gaya Sivaji The Boss.
VIDEO kempen terbaharu Maszlee yang menampilkan kelainan. — Facebook
Rakaman itu turut memasukkan kesan bunyi semasa aksi Maszlee menggerakkan tangan dan memakai kaca mata hitam tersebut, menjadikannya menarik untuk ditonton.
Ia diakhiri dengan suntingan klip api yang sedang marak dan logo bendera PKR berserta tanda pangkah.
Dalam hantaran video itu, Maszlee turut menyertakan mesej ringkas menyeru pengundi DUN Layang-Layang keluar mengundi bagi menentukan pemimpin mereka.
"Saya bukan boss seperti Sivaji tapi saya mahu anda semua keluar mengundi pada 12 Mac ini.
"Saya faham yang rakyat masih lagi risau tentang wabak Covid-19, tetapi kami menyediakan SOP untuk pengundian dan anda tidak patut sia-siakan peluang untuk memilih pemimpin anda. Beranikan diri, keluar mengundi!," katanya.
Dalam perebutan kerusi Layang-Layang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Maszlee dicabar oleh K. Alagathiran daripada PN, Abdul Mutalib Abd Rahim (Barisan Nasional) dan Ahmad Shafiq Othaman yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram