BINTANG Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh bakal menyertai industri sukan global setelah dicadangkan sebagai ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Menurut Presiden IOC, Thomas Bach, Yeoh bersama tujuh calon lain telah menjalani pemeriksaan integriti yang dijalankan oleh Suruhanjaya Etika IOC.
"Calon-calon ini membawa nilai tambah kepada IOC kerana pengalaman dan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang.
"Persamaan mereka semua adalah kecintaan terhadap sukan dan kepercayaan teguh terhadap nilai Olimpik dan makna IOC itu sendiri," katanya.
Penerima Oscar Pelakon Wanita Terbaik 2023 menerusi filem Everything Everywhere All at Once ini merupakan satu-satunya calon yang tidak terlibat dalam bidang sukan untuk pemilihan ahli bagi sesi ke-141.
Selebriti kelahiran Ipoh ini juga akan dicalonkan bersama pemenang pingat Olimpik pertama Israel, Yael Arad, ahli perniagaan dan pentadbir sukan Hungary, Balasz Furjes, pemenang pingat Olimpik dan ahli politik Peru, Cecilia Roxana Tait Villacorta dan usahawan sukan Jerman, Michael Mronz.
Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria sempat mengucapkan tahniah kepada Yeoh dan berkata, kehadirannya dalam kuasa tertinggi Pergerakan Olimpik jelas akan menjadi platform agar suara Malaysia berada di peringkat lebih tinggi.
"MOM amat berbangga dengan pencalonannya dan menyokongnya dengan sepenuh hati," katanya.
Bach juga berkata pemilihan empat wanita dapat mengukuhkan komitmen IOC terhadap kesaksamaan jantina dengan menambah keahlian kepada 44 wanita dan membentuk 41.1 peratus ahli majlis tersebut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram