[VIDEO] Bukan lelong, isu baiya jual nama polis beli motor tanpa 'roadtax' terjawab


  • Tular
  • Selasa, 12 Sep 2023

Tangkap layar kejadian seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu yang sah.

ISU pendatang asing tanpa izin (PATI) memandu kenderaan atau menunggang motosikal di negara ini bukanlah satu perkara baharu.

Malah, ia dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini terutamanya dalam kalangan etnik Rohingya dan Bangladesh.

Ada antara mereka yang difahamkan mendapatkan kenderaan tersebut daripada warga tempatan termasuk dipinjamkan oleh majikan masing-masing.

Baru-baru ini tular satu video memaparkan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu yang sah, selain kenderaan tersebut juga tidak mempunyai cukai jalan.

Malah, lelaki itu mendakwa motosikal berkenaan dibeli daripada seorang anggota polis yang berpangkalan di ibu kota dengan harga RM1,500.

Lelaki yang merakam video berkenaan berulang kali menegaskan bahawa undang-undang Malaysia tidak membenarkan mana-mana individiu memandu kenderaan tanpa lesen yang sah.

"Sekarang awak matikan enjin (dan) tolak motor, atau awak mahu pergi balai (polis)?

"Saya tak kisah awak beli motor dengan siapa, tapi undang-undang Malaysia bawa motor mesti ada lesen. Kalau awak langgar orang macam mana?" soalnya.

Video itu mendapat perhatian netizen yang mendakwa motosikal berkenaan adalah hasil sitaan dan dijual secara lelong oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof menjelaskan bahawa bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah berjaya mengesan dan menahan penunggang motosikal tersebut untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, satu saman telah dikeluarkan terhadap lelaki itu atas kesalahan tiada lesen memandu.

"Semakan mendapati motosikal tersebut adalah atas nama pemilik Dabby Anak Lakim, anggota yang bertugas di IPD Sepang.

"Pemilik motosikal ini telah menghantar motosikal tersebut untuk dibaiki di sebuah kedai tetapi disebabkan terlalu lama tidak diambil lalu warga asing ini minta untuk membelinya lalu pemilik bersetuju untuk menjualnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram