AKSI pembukaan Kumpulan H untuk kempen kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) menyaksikan skuad kebangsaan mengumpul tiga mata berharga selepas menundukkan Bangladesh.
Meskipun mengawal permainan sejak wisel pertama ditiupkan, anak-anak buah E Elavarasan terpaksa menunggu sehingga minit ke-81 untuk mendapatkan jaringan.
Percubaan jarak jauh daripada Aliff Izwan Yuslan gagal ditepis penjaga gol lawan, sekali gus meletakkan pasukan negara berada di depan.
Tidak lama selepas itu, giliran pemain gantian, Fergus Tierney untuk mendapatkan gol kedua perlawanan apabila dia bijak mengawal hantaran daripada rakan sepasukan ketika masa kecederaan.
Kemenangan itu meletakkan skuad B-23 negara berada di tangga kedua Kumpulan H dengan tangga teratas diduduki Thailand selepas mereka menundukkan Filipina 5-0 dalam satu lagi perlawanan.
Haqimi sudah mengumpul pelbagai pengalaman dalam Liga Super bersama skuad Warga Kota. — Facebook/Kuala Lumpur City
Bagaimanapun, melihat kepada kegagalan pasukan muda negara untuk menyempurnakan setiap peluang yang terhidang, persoalan pastinya diajukan mengenai ketumpulan jentera serangan.
Keputusan Elavarasan untuk menurunkan Alif Ikmalrizal dan Aliff Izwan sebagai penyerang dikatakan masih belum cukup meskipun masing-masing memainkan peranan cukup penting.
Jadi, untuk menyelesaikan ketumpulan itu, penyokong bola sepak tempatan mula mencadangkan agar posisi tersebut diisi penyerang muda Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli.
Selain mempunyai pengalaman lebih banyak di peringkat kelab, pemain berusia 20 tahun tersebut juga pernah berpeluang berada dalam skuad senior Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF yang lalu.
Tetapi, berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan sebelum aksi bertemu Bangladesh pada Rabu, nama penyerang tinggi lampai itu tidak kelihatan, sekali gus menimbulkan lebih banyak tanda tanya.
Tangkap layar daripada InstaStory Haqimi yang memaparkannya menggunakan tongkat.
Namun, teka-teki terbabit mudah terjawab apabila Haqimi dalam satu hantaran di InstaStory peribadinya memaparkan bahawa dia mengalami kecederaan di kakinya.
Ini kerana dia dilihat terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan di samping kelihatan pergelangan kakinya dibalut dengan alatan perubatan.
"Perancangan ALLAH lebih baik, ALLAH tahu kita kuat, sebab itu ALLAH uji. Semoga berjaya dan harapnya yang terbaik untuk sahabat untuk perlawanan hari ini," tulisnya.
Haqimi dipanggil di samping Aliff Izwan, Alif Ikmalrizal, Najmuddin Akmal serta Luqman Hakim Shamsudin dalam usaha skuad B-23 negara untuk layak ke kejohanan berkenaan tahun depan.
Khidmatnya dilihat amat diperlukan memandangkan penyerang berkenaan sudah meraih satu gol di peringkat kebangsaan ketika Harimau Malaya berdepan Laon dalam Piala AFF 2023.
Selepas ini, pasukan muda negara akan berdepan Filipina pada Rabu di Stadium Chonburi, Thailand untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam Kumpulan H. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram