[VIDEO] Ejen berebut pekerja Bangla punca pertengkaran sampai keluar kayu hoki di Kajang


  • 112
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Tangkap layar video tular sejak Khamis yang memaparkan sekumpulan individu mencetuskan kekecohan di hadapan sebuah premis di Taman Prima Saujana di Kajang, Selangor. r

POLIS menahan tiga lelaki warga Bangladesh disyaki terlibat dalam insiden kekecohan di depan sebuah poliklinik swasta di Taman Prima Saujana di Kajang, Selangor pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ketiga-tiga suspek berumur antara 24 hingga 32 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Sentul dan Setapak, Kuala Lumpur kira-kira pukul 1.15 pagi Jumaat selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu daripada pemilik poliklinik berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan pemilik poliklinik itu, kejadian terbabit melibatkan dua kumpulan disyaki warga Bangladesh yang hadir ke kliniknya kira-kira pukul 6 petang, Rabu lepas untuk pemeriksaan kesihatan.

"Kedua-dua kumpulan ini dibawa oleh dua ejen berlainan yang juga warga Bangladesh. Semasa kedua-dua kumpulan berada di depan poliklinik, telah berlaku pertengkaran antara mereka sehingga kedua-dua kumpulan membawa keluar beberapa batang kayu hoki.

"Keadaan menjadi semakin tegang sehingga berlaku tolak-menolak antara mereka dan seorang daripada suspek telah masuk ke dalam poliklinik itu sehingga menyebabkan staf poliklinik itu menjerit dan menghalau keluar kesemua warga asing dari situ,” katanya dalam satu kenyataan.

Video insiden berkenaan turut dikongsi media sosial menerusi TikTok bertajuk "sekumpulan warga asing bawa kayu hoki serang wanita”.

Mohd Zaid berkata berdasarkan siasatan, kekecohan itu berpunca akibat perebutan pelanggan antara ejen untuk pemeriksaan kesihata dan menafikan bahawa kumpulan warga asing itu menyerang wanita seperti tular melalui media sosial.

Beliau berkata, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes itu dan telah dibawa ke Mahkamah Kajang serta direman selama empat hari mulai hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mohd Zaid juga menasihati orang awam supaya tidak terpengaruh dan menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam kerana jika didapati bersalah, tindakan undang-undang boleh dikenakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram