SEORANG individu dipercayai warga asing ditahan pihak berkuasa selepas bertindak melempar beberapa barang dari tingkat atas sebuah flat di sekitar Bukit Jambul, Pulau Pinang.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.23 malam itu berjaya dirakam oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan sebelum ia menjadi tular di laman sosial.
Menerusi video berdurasi 33 saat itu, lelaki disyaki warganegara Bangladesh tersebut dilihat melempar barangan keperluan rumah ke bawah, antaranya termasuklah kerusi, kipas, dan barangan elektrik lain.
Rakaman tular itu juga menunjukkan beberapa anggota polis membawa lelaki tersebut masuk ke dalam kereta peronda polis, sambil disaksikan orang ramai yang berkumpul di lokasi kejadian.
Menurut info awal yang dikongsikan orang awam, individu berkenaan dipercayai berada dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan dia mula bertindak di luar kawalan.
Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan punca dan tarikh sebenar kejadian tersebut berlaku.
Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram