Muhyiddin hanya tersenyum, angkat tangan lepas beri keterangan berhubung isu fatwa


  • Politik
  • Selasa, 12 Sep 2023

Muhyiddin selesai memberi keterangan kepada pihak polis, berhubung isu fatwa beliau yang mengharamkan mengundi Suhaizan Kaiat, pada PRK Parlimen Pulai minggu lepas.

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai memberi keterangan kepada pihak polis, berhubung isu fatwa beliau yang mengharamkan mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai minggu lepas.

Keterangan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu diambil di pejabatnya di bangunan Lembaga Pembangunan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur, pada pagi Selasa.

Sebelum ini, Muhyiddin dilihat memasuki bangunan MIDA pada pukul 9.28 pagi dan meninggalkan bangunan berkenaan pada pukul 10.25 pagi.

Muhyiddin hanya tersenyum dan mengangkat tangan isyarat bagus, ketika ditanya pemberita yang berkumpul di bangunan tersebut sejak pukul 9 pagi mengenai rakaman keterangan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan rakaman kenyataan berkenaan telah selesai, dan kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Pada 2 September lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, Johor didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa 'haram memberikan undi kepada Suhaizan'.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suhaizan menang dengan majoriti 18,641 undi, sekali gus membolehkan PH mempertahankan kerusinya dengan memperoleh 48,283 undi, dan menewaskan dua pencabarnya iaitu Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) serta calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi yang masing-masing mendapat 29,642 undi serta 528 undi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram