[VIDEO] Keluar 'fatwa' haram undi calon PH, polis buka kertas siasatan terhadap Muhyiddin


  • 112
  • Isnin, 04 Sep 2023

Muhyiddin (kiri) didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa 'haram memberikan undi kepada Suhaizan (kanan)' semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, Johor Sabtu lalu.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau berkata, PDRM menerima satu laporan mengenai kenyataan Muhyiddin itu yang dibuat di sebuah balai polis dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Kuala Lumpur.

"Tindakan selanjutnya polis akan mengambil keterangan beliau (Muhyiddin) dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Sabtu lepas, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, Johor didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa 'haram memberikan undi kepada Suhaizan'.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 5 September dan hari mengundi pada 9 September ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram