POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan berhubung isu 'fatwa' politik yang dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kenyataan berbaur 3R (kaum, agama dan raja) itu dibuat Muhyiddin pada Sabtu lepas.
"PDRM mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Muhyiddin yang menyifatkan tindakan mengundi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kayat sebagai haram. Setakat ini, dua laporan polis telah diterima berhubung kenyataan itu.
"Temu janji rakaman percakapan dengan beliau mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah ditetapkan pada 11 September ini di pejabatnya di Bangunan MIDA di ibu negara oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa malam.
Terdahulu, sewaktu berucap pada ceramah PN di Kempas, Johor Bahru, Johor, Presiden Bersatu itu telah menjatuhkan hukum haram untuk mengundi Suhaizan yang juga calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK itu, pada Sabtu ini.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, siasatan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyentuh institusi diraja dengan mempertikai kuasa lembaga pengampunan telah lengkap.
"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat," katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan berkaitan isu 3R terhadap Abdul Hadi adalah satu-satunya yang dibuka pihaknya sepanjang tempoh berkempen mulai 28 Ogos hingga hari ini.
Mohd Shuhaily turut menasihati orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform itu sehingga menyalahi undang-undang.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Sementara itu dalam satu kenyataan pada Rabu, Muhyiddin menafikan pernah mengeluarkan fatwa haram memberi undi kepada calon PH dalam PRK Parlimen Pulai.
Beliau berkata, ada pihak yang memetik ucapannya dalam ceramah di Pulai pada 2 September lalu di luar konteks.
“Ucapan saya panjang.Saya menyentuh pelbagai isu dihadapi oleh rakyat pada masa ini terutama sekali bebanan kos sara hidup yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan PH.
“Kerana itu saya menyeru kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pulai supaya jangan memberi undi kepada calon PH, Suhaizan Kayat,” katanya.
Jelas Muhyiddin, dia tidak mengeluarkan fatwa hukum syarak bahawa haram mengundi calon PH.
“Saya hanya secara berkias menyebut ‘saya bagi hukum haram’ dengan tiada niat bahawa ia adalah fatwa hukum syarak kerana saya tahu apa yang saya sebut itu bukanlah fatwa hukum syarak, selepas itu saya menyebut ‘ada esok ni yang mencabar saya ni ikut fatwa mana," katanya.
Tambahnya, sebagai seorang yang faham tentang hukum-hakam agama, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang fatwa agama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram