
HASRAT untuk sama-sama meraikan hari terakhir program Himpunan RXZ Members 5.0 di Kuala Terengganu, Terengganu pada Sabtu terbantut apabila puluhan pemilik motosikal Yamaha RXZ ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kejadian yang berlaku di hadapan Wisma KOKITAB itu dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian, sebelum dikongsikan di laman media sosial pada hari yang sama.
Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan puluhan pemilik terpaksa menolak motosikal mereka ke satu lokasi sambil diawasi oleh pihak penguatkuasa.
Difahamkan, mereka ditahan polis sebelum masing-masing sempat masuk ke tapak program lagi.
Berdasarkan sumber orang awam, kebanyakan penunggang yang menyertai program itu dipercayai membuat pelbagai kesalahan jalan raya seperti menunggang motosikal secara melawan arus, tiada nombor pendaftaran, melanggar lampu isyarat dan ada juga yang membuat bising hingga mengganggu ketenteraman orang ramai.
Sementara itu, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Hishamuddin Abd Karim menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, pihak kerajaan negeri sememangnya berhasrat untuk memudahkan perjalanan program berkenaan, sama seperti tahun sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak boleh mengganggu PDRM dalam menjalankan tugas mereka.
"Tahun ini dan sebelum ini kita tetap berbincang dengan PDRM, cuma kerajaan negeri tidak boleh nak ganggu PDRM. Hanya boleh runding dan bincang, atas pertimbangan PDRM jugalah.
"Harap mereka boleh bertolak ansur, kami masih berbincang dan berhubung dengan PDRM," katanya sebagai membalas pertanyaan orang ramai berhubung penahanan tersebut.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Untuk rekod, RXZ Members merupakan acara tahunan yang menyaksikan ribuan pemilik motosikal Yamaha RXZ berkumpul di Terengganu bagi meraikan motosikal ikonik itu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram