SEORANG penunggang motosikal dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Balai, Durian Tunggal, Melaka pada Isnin.
Memetik laporan portal tempatan, kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu melibatkan motosikal mangsa jenis Honda Dash dan dua lagi kenderaan jenis Perodua Alza dan Perodua Myvi yang masing-masing dipandu wanita berusia 38 dan 48 tahun.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu dilaporkan berkata, mangsa yang merupakan pesara Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Yusup Kasim, 66, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala manakala pemandu wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah pekan Durian Tunggal menghala ke Gangsa manakala dua buah kenderaan lagi yang dipandu guru wanita datang dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang tiba di lokasi kejadian dikatakan gagal mengawal motosikalnya dan masuk ke laluan bertentangan.
“Akibat daripada itu, motosikal mangsa kemudian bergesel pada bahagian kanan Perodua Alza yang kebetulan melalui lokasi kejadian sebelum berlanggar juga dengan Perodua Myvi yang berada di belakang,” katanya.
Arshad turut menjelaskan, akibat daripada pelanggaran tersebut, mangsa tercampak ke laluannya semula sebelum disahkan meninggal dunia.
Katanya lagi, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
“Kesemua kenderaan yang terbabit kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan lanjut.
"Kedua-dua pemandu wanita berkenaan sudah diminta hadir ke Balai Trafik Alor Gajah untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram