SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai merampas pistol seorang pegawai polis sebelum bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal yang dicurinya.
Kejadian di wilayah utara Uttaradit, Thailand itu difahamkan berlaku pada petang Jumaat.
Pegawai polis trafik, Chitipun Kunnarmang yang sedang bertugas pada hari kejadian pada mulanya ternampak suspek, Pitsanupanya 'Jack' Teppin, 40, menunggang motosikal jenis Honda MSX 125.
Motosikal itu dimodifikasi dengan aksesori yang tidak dibenarkan, selain disyaki merupakan sebuah kenderaan curi.
"Jack memasang paip ekzos haram yang mengeluarkan bunyi berlebihan termasuk membuang plat pendaftaran motosikal tersebut," katanya.
Chitipun kemudian meminta Jack untuk berhenti, namun dia enggan berbuat demikian dan bertindak melarikan diri dengan motosikalnya.
Pegawai polis itu kemudian mengekori suspek dan berlakulah aksi kejar-mengejar melibatkan kedua-duanya.
Bagaimanapun, akibat menunggang terlalu laju, Jack didapati gagal mengawal motosikalnya hingga menyebabkan dia terjatuh.
Chitipun dengan segera mendekati Jack untuk menangkapnya, namun Jack mula menyerang dan merampas pistol anggota polis terbabit semasa bergelut, selain turut mengugut untuk mencederakan orang awam di lokasi kejadian.
Suspek kemudian berjaya melarikan diri dari tempat kejadian dan menghilangkan diri selama beberapa hari sebelum ditahan polis pada Ahad.
Motosikal yang dicuri tersebut ditemui di sebuah kuil terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.
Polis turut memaklumkan, selepas insiden serangan tersebut, Jack dilaporkan telah menghubungi rakannya, Thit dan Ton untuk membantunya melarikan diri menggunakan sebuah trak pikap.
Difahamkan, Jack singgah di rumah Ton untuk menukar pakaian dan meneruskan perjalanannya ke wilayah Phitsanuloak.
Polis mengesan pikap tersebut menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sehingga mereka berjaya menahan suspek di wilayah Pitsanuloak.
Untuk makluman, Jack mempunyai rekod jenayah dan pernah melarikan diri dari tahanan polis atas kesalahan melibatkan dadah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram